15.9.08

PANDANG

pandang
takkan ada yang kosong
akan tertangkap kelibat
dalam anak mata yang murung
mampukah melihat
menafsir yang tak langsung
yang pasti terlekat
di jiwa yang terkandung
sarat dengan berjuta firasat
yang jauh terlindung

pandang
dari mata turun ke hati
meresap ke minda dan dalam diri
terlayarkah hasrat
mujarabkah ubat
tergadaikah sahabat
leraikah kesumat
gugurkah laknat
sempatkah bertaubat
tergapaikah syafaat

pandang
seluruh petala ada rupa
bukan hanya di depan muka
angin berkata-kata
telanlah lara
muntahlah gembira
bunuhlah rasa
teguklah sengsara
kenapa sebenarnya
adakah sudah gila

pandang
segalanya ada alasan
walau kedengaran bosan
takkan tercekik menelan lara
takkan loya lagi kerana gembira
takkan mati membunuh rasa
takkan perit tekak meminum sengsara
kenapa
cubalah terangkan
nyalakan dian

pandang
lara sengsara itu uji
rasa gembira itu tak pasti
sabar buat kita kuat
korban buat kita ingat
kerna Dia Maha Adil
pernah Dia melontar bedil
kita tak pernah faham
kenapa gelap dipanggil malam
kenapa mentari kian tenggelam

pandang
hunuskan ilmu bagi yang jahil
simbahkan hak pada yang batil
apa didapat
ganjaran berlipat
tidak di sini
khuatir dicemari
pandang dengan mata
jangan sekali bicara
andai takkan sedia

No comments: