25.9.08

BUKAN SAJAK KU

cuba ku buang kebiasaan
dikelilingi mereka yang ku sangka teman
takkan dibenar sampai
bak terbengkalai lukisan inai
mungkin sukarnya hakikat
mengenal mana letaknya urat belikat
tawa meracun, takjub melantun
derita bertahun, tak terbangun

tak pernah bermimpi
ku tahu letak diri
bukan sajak ku, semuanya tertolak
langkah tak tinggal jejak
tak daya menyusur
darjat tetap diukur
takkan jadi pilihan
walau latar pertuanan

semuanya tergantung pada rupa
kalau buruk usah dicita
sedarlah diri tak berarah
tiada kesenangan melimpah ruah
bukan salahnya takdir
ataua perjalanan pralahir
aturannya manusia
bisa dibeza-beza

takkan didengar
ku bukan mawar
yatim bukan direncana
Dia lebih menyayanginya
muka dipaling, mata menjeling
diperlaku bak anjing
sabar saja bekalan
menyaksi dusta tak berkesudahan

mahu saja dimuntahkan
makanan yang ditelan
semuanya dasar persahabatan
yang tak penat diperdagangkan
lemah sudah menyaksikan
lakonan kelas atasan
ku sangka bertukar keikhlasan
terserlah benar kepalsuan

cuma tinggal satu peluang
dari ribuan yang telah dilayang
tak pernah memaksa
hanya rela tak rela
aku bosan melayan
sibuk bukan alasan
diluang pada yang tinggi
yang hina tak pernah peduli

sisa pertuanan masih mengalir
mengawal amarah berarus bak air
mujur hadir seniman
yang tak pernah hiraukan balasan
pergilah jauh-jauh
ku tahu pemberian ku tak pernah bersentuh
dibiar mengumpul debu
buang saja buat tak tahu

senyum ku dianiaya
mahu saja ku turun bala
bersuara sedikit dikata senjata
aku dituduh tamakkan masa libur mereka
mana pergi janji-janji
ditunaikah setelah aku mati
jangan khuatir takkan ku tuntut
tak ku terima cerita mengarut

jauh sekali ku minta belas
tunggang terbalik ku biar lepas
kata-kata ku tak pernah pedas
mungkin tak berasas tetapi tegas
setiap patah beracun masih berbekas
takkan ku hina paku buah keras
biarlah aku membina landas
mungkin ku tewas, namun ku bebas

mereka yang pernah ku kenali
musnahkan diri ku dari memori
jelas terang kita berbeza
cuma ku bodoh tak faham cerita
bahagialah dengan cara mu
takkan ku hujani dengan peluru
mati ku jangan diziarah
khuatir loya terbau nanah

andai masih bersisa saudara
ku pinta kalian sejahtera
pertemuan di sini saja
maafkan aku segala-gala
makan minum budi bicara
segala hutang tuntut segera
walau aku menuai dosa
tak pernah ku minta terlibat sama

hentikan khabar, jangan ditukar
biar terpinga, wajar tak wajar
aku takkan pernah matang
suluh saja kamar mu biar terang
takkan bising, takkan berdesing
nada pesanan takkan berdering
kuburkan aku, jangan ditanda
aku hanya sampah dunia

No comments: