25.11.08

UNTITLED XXV

rasa itu tiba lagi
takkan reda hingga ke mati
walau harum aroma setanggi
kan tajam jua menusuk hati
tak bisa melerai tali
alangkah elok terungkai sendiri
tanpa memberat dosa di jemari
tanpa mencabar dusta yang lari

terang disuluh mendapat samar
menyentuh bukti di kulit kasar
ternganga luas pintu keluar
walau hampir tetap takkan terkejar
peti pembayang habis diselongkar
didaki haus puncak mimbar
di mana bertakhta yang terpapar
tak terpandang yang sebenar

tak pernah aku tak sayang
bukan kerana kita terlarang
pemisah gelap dan terang
akan celaru kala menyeberang
takkan nyata yang dirancang
walau jauh camar kan pulang
andai setitik fitrah dipegang
yang sesak takkan lapang

tinggi puncak ditawan
debu hina tetap berterbangan
akankah wujud keistimewaan
kala beradu bergebar intan
belajar dari kesilapan
darjat takkan membelah awan
anak takkan menjadi tuan
yang berakal takkan berhingusan

sumpah aku takkan tahu
penawar memadam api cemburu
ditangkap khabar di angin lalu
dicerna tidak ditelan layu
selesa khayal dihanyut waktu
takkan lahir niat terbuku
ruangnya cuma satu
abadi atau haparan ku

takkan jumpa pandangan mata
tampan kacak selembut sutera
rasa sebenar takkan tiba
andai digadai seluruh usia
mungkin letak nikmat itu seksa
mungkin pati abadi itu lara
berzaman takkan lupa
cinta ku pada dia

No comments: