24.11.08

BUKAN SEKADAR BICARA II

katakan apa rasa mu
tiada guna lagi meragu
tak pasti yang akan berlalu
entah fasih entah membisu
mata bertentang laku bertemu
dihalang santun retak seribu
sudah dinyata setuju
kawal jangan meluru

bisakah nanti terlihat
senyum ikhlas atau dibuat
wajah manis yang memikat
jangan diselak tabir muslihat
tolong daku firasat
lemah bertarung kudrat
bantu aku menyusun ayat
menyaring tersurat dengan tersirat

bukan kerana gentar
hilang imbangan di atas pelantar
namun kerap dihantu gusar
terdengar nama hati bergegar
tak layak dikejar
direnang lautan direntas banjar
tak muncul jalan keluar
walau bintang di langit bersinar

gemersik alunan irama
hilang rasa mahu berdansa
lantai tari terkesima
melihat dirinya tak bermaya
bukan aku mendampar kecewa
tiada guna dikenang semua
seribu tahu ditunggu jua
ingin menyaksi ke mana utara

No comments: