24.11.08

DARI TEMASEK

nyaring bunyi yang tersebar
tika diangkat hati berdebar
pertama kali mendengar suara
kekanda jauh di Kota Singa
lunak bergema halus bahasa
walau bukan lidah ibunda
berbalas kisah nyata tak sukar
andai dikawal yang dikeluar

mukadimah bertanya khabar
terserlah hubungan yang takkan terbakar
ditentu alamat dihantar bungkusan
khuatir yang dijanji kehilangan
bicara kerap bersulam panggilan
walau sibuk bukan halangan
bukan dosa mengerat yang wajar
asal bukan bersandar yang mungkar

bagai menebar jala yang luas
walau yang halus takkan terlepas
sari cerita bukan yang asing
bertumpu rencah kuah dan daging
takkan sekali menembus dinding
dahan takkan terpisah ranting
jangan dipandang putihnya kertas
warna rahsia tak pernah dibias

tawa gembira jarang melemas
kisah dizahir hati yang ikhlas
dicecah dicapai tanpa bising
resam laku orang terbimbing
berat digalas ringan dijinjing
peribadi hak masing-masing
kepunyaan orang jangan dirampas
meski rajin menjaja belas

cuba dirisik pencuri hati
dipetik dipukul tak mahu berbunyi
apa di mata itulah hidangan
segenap ruang terngiang pesan
tak pernah mahu merahsiakan
namun keterbukaan ada sempadan
yang utama pintanya dihormati
bukan bermaksud meninggi diri

yang bermula pasti berhenti
bicara ditangguh kemudian hari
terima kasih adinda ucapkan
kekanda sudi meluang kelapangan
tak terasa eratnya hubungan
walau terpisah seluas lautan
akan ditunai yang dijanji
kala adinda bersedia nanti

No comments: