24.11.08

SURATAN

mungkin benar kata kebanyakan
enggang sama enggang, pipit tetap terbuang
bukan tidak pernah dikunjung hina
tegal menyua damba yang dahaga
ingin diintai kerdip yang suram
dari kejauhan dipandang diidam
dinanti detik bertukar siang
malam bertamu lena tak panjang

telah tersebar seluruh jajahan
kalam bertinta tersurat berzaman
bahawasa dia menjauh agung
cukup sekadar teman berpayung
rendah kepala terima bayang
entah bila tuannya datang
menuntut mimpi yang lama pasti
menyambut suri pelengkap alami

hampir lupus tiga purnama
akan keempat bertandang jua
larang memungkir, berpaling fitrah
hutang memurka dibayar darah
hendak ditatap direntap samar
selirat rasa takkan bertukar
badan bersatu mata bertemu
hatinya tetap milik yang itu

dititip bingkisan tepis beramar
tak semua menguap kala di kamar
tiada pilihan diperkenan pinta
walau jiwa berontak meronta
pujaan dihujan aneka persembahan
bukan iri, bukan bebanan
terserlah jua cinta yang mekar
buat dia, ambal dihampar

diturut sabda kerana cinta
meski rindu tidak mengiya
darjat dirata bukti rasa ditumpah
dikenang bersilih dinafi lelah
rindu baginya melemah tumpuan
bukan amalan, bukan kebiasaan
ruang luas memenuh jujur
lama bertahan tetap tersungkur

khabar ditahan selama perlu
mungkin sudah dihinggap jemu
tak direbut putaran masa
hidup diraya sepuas-puasnya
hajat disuara didengar mengharap
hadap seada walau sekejap
agar nanti dipulau pilu
sedia ada waktu cemburu

nyata benar bicara kebanyakan
darjat paksi ukuran ketamadunan
pinta dijauh disapa yang rendah
agar terhindar zarah masalah
ia datang hanya sekali
walau dikejut dari mimpi
hanya sayang yang aku ada
walau dirias cacat cela

No comments: