24.11.08

APA JAWAPAN

di mana letaknya tempat itu
indah tiada, diselimuti debu
entah apa yang berlaku
segala kepastian bertukar ragu
keyakinan didahulu menjadi biru
kesucian menyusul bertukar kelabu
kemarahan dibiar membias ungu
disorok simbahan cahaya rindu
jauh dari hati yang memerlu

dihantar cinta beradun harapan
buat putera yang menghuni ingatan
warkah ditunggu dinanti berzaman
namun masih tiada balasan
diutus khabar di bantal awan
dalam titis sabda berkilau bak intan
kencang angin berhembusan
meniup inti kasih sang pangiran
membasah tanah insan kesayangan
agar bisa tumbuh kegembiraan

namun tak kedengaran suara
tanda diterima bingkisan rasa
masihkah berdurja segala
hingga terbelah tujuh petala
kontang semua lautan di dunia
terhalang hantaran cinta hatinya
apa lagi yang kurang di mata
mengapa sukar menzahir duka
lama lagikah mahu mengira
jalinan benang menyulam lara

sang pangiran ingin mengerti
mendapat maaf dari yang dicintai
setiap khilafnya silalah terangi
agar dia takkan mengulangi
lepaskan dia dari mimpi
jangan diseksa jiwanya lagi
bak meruntuh gunung yang tinggi
jika pergi katalah pergi
takkan lagi dia menanti
menyesak fikir tiada henti

kembalikan warna menjadi biasa
kesat debu yang lama meraja
yang berlaku lupakan saja
basmi ragu dengan percaya
merahkan yakin supaya menyala
putihkan suci agar bernyawa
simpan amarah, kekalkan warnanya
cahaya rindu terangkan semula
menyinar hati yang dahaga
kesudahan pasti bermakna

No comments: