25.9.08

UNTITLED X

ku berlari di sini
melihat kebaikan ku beredar pergi
tiada lagi simpati
tak siapa lagi peduli
semua menyendiri
khuatir dihampiri

ku teruskan perjalanan
menggalas beban berzaman
mentari mengurang terik sinaran
awan tiada di pandangan
tiada yang kedengaran
walau dari salur pernafasan

lupakan saja wujud ku
dikenang takkan bertemu
diingat takkan bersatu
dibayang takkan menghantu
tiada lagi yang perlu
tiada yang menggigit kuku

TICK TOCK TICK TOCK

tak pernah cukup
tak pula ditutup
selalu didamba
datangnya selamba
sekali lalu
berarah tuju
tangkap kalau sempat
sesal kalau lambat

pantas hari
bukan berlari
tak luang sepenuhnya
jiwa merana
dikejar keletihan
ditunggu kebosanan
saat dimahu
tak datang selalu

ada yang panjang
semakin terhalang
yang singkat pula
peningkan kepala
simpan elok-elok
hafal selok-belok
takkan terbazir
walau sampai akhir

perlahanlah nanti
kerna aku peduli
hidup penuh makna
dilalui penuh duga
aku perlu masa
jangan pandang curiga
pinjamkan diri mu waktu
untuk sinarkan erti ku

IT'S JUST MY RING

bukan hanya di jari
simpan di sanubari
tiada rahsia di sebalik pemberian
hanya bukti wujud persahabatan
sampai bila tak pasti jua
selagi kita masih bernyawa

aku agak bahasa jiwa mu
terkejut dan keliru
kita bersama mencapai maksud
bukan bermimpi yang tak wujud
engkau menunai janji
tulus mu ku junjung tinggi

senyum mu melenyap gundah
lega ku habis tertumpah
mata yang paling indah
ikhlas pandangan yang singgah
hari kita cerah
bebas dari gelisah

I KNOW I'M NOT ASKING TOO MUCH

wahai gitar
putuskan tali mu
bukan tak wajar
tapi mereka yang dungu
takkan tak sedar
kala ku padam lampu
hari ku sukar
bukan cemburu

mereka berhibur
tak pernah ku halang
jangan adab melebur
sabar ku kan terbang
pengertian dihulur
cubalah diterang
andai ku tempur
jangan meradang

tak pernah ku minta
sembah segala
kita semua dewasa
pandailah menjaga
andai didamba
jawapan yang tertunda
kala ku lena
diamlah sementara

HATI PECAH

tak daya menghilang
melihat hijab terhalang
mendengar tak upaya menafsirkan
berkata tersekat persoalan
hati pecah

bukan maksud mencampuri
aku hanya peduli
pertalian masih tersimpul rapi
namun tiada apa didapati
hati pecah

cuba ku jauh diri mu
hampir berjaya bisik ku
tetapi hati mu sentiasa berlagu
sayu
hati pecah

ku biarkan diri mu hari ini
takkan lagi menghampiri
semoga bertemu damai hakiki
semoga cinta mu bertaut kembali
hati pecah

tiada luka
tamat sengsara
hanya doa
agar kau sejahtera
hati pecah

HAMPIR KAN TETAP JAUH

rawak walau dicorak
tiada sisa daging
hidup masih mutlak
maut tewas bertanding
diadu akal yang bijak
sekilas dia menjeling
melancar pesan dirinya mengelak
disapa tidak bersahut
sekujur tubuhnya bergebar takut
disentuh dia terkejut
mengatur kata dalam rebut
ditenang dibebas kalut
jelas tak selesa menyebut
cintanya kasar diragut
hanya bersenjata mulut
silau dipancar derita
berpinar mata menyaksi
tak daya menerus cerita
tumpah mutiara di pipi
ditolak terus kecewa
mencari pelapang hati
biarlah dia teroka
damai yang dijanji
usah diturut rasa
gagal takkan bertakhta
walau dirubah segala
kita di sini cuma
teguh jiwa didapat semula
setelah lama berselimut paksa
tak pasti dia membaca
setiap patah tak gentar bersuara

DI SEBALIK TAWA

ku lihat dia ketawa
masih tak terledak gembira
berat rasa di kepala
menanggung derita lama
takkan pergi tanpa kecewa
bagi ku aman itu dusta

ku lihat dia ketawa
entah apa silapnya
senyup diukir terpaksa
sekadar pelengkap rupa
jiwa ini masih terdera
walau ditumpah sentosa

ku lihat dia ketawa
mengharga pesona dunia
aku tak pernah lupa
bahagia yang ku damba
tak pernah kunjung tiba
janji kosong semata

ku lihat dia ketawa
semuanya di luar rasa
tak ku balas sapa
walau aku tak leka
bosan merencana
yang takkan nyata

ku lihat dia ketawa
aku pasti dilupa
buat apa mengingat duka
andai hanya menyesak jiwa
jangan biar cemburu menguasa
itu aku tak pernah bangga

DARI JENDELA

pandang biar berhalang
nanti digoda bayang
bidai jangan berdusta
tak rela diperdaya
cukup sudah seksaan
yang dinanti permulaan

deru ombak mendamaikan
menyimpan rahsia berzaman
mentari menutup hari
berehat menanti pagi
walau berjuta butir
pasir tetap pasir

badai diam menerpa
menanti masa gemilangnya
andai kukuh dilayar
teguh diikat takkan terbongkar
meredah gelombang mendatang
budi jangan berhutang

CAFE DOS, POR FAVOR

hey
ini kali ketiga kita duduk di meja maya
apa cerita, you ain't a senorita
bermuram durja segala
setiapnya ada punca
bergegar alam bak telenovela

hey
diri mu lelaki
sabarlah menghadapi
ini duga hidup di bumi
lama bertahan tercapai mimpi
kecundang ditolak tak lagi berlari

hey
mana pergi kekuatan
yang bertunjang kewarasan
yang disokong kesetiaan
yang berpasak kepercayaan
di tanah merah penuh keikhlasan

hey
kita masih saudara
walau aku sudah berpunya
damn it, aku terlupa!
aku masih berhutang percaya
aku tak kacak bak Ojani Noa

hey
senyumlah semula
Ricky Martin tak suka
Marc Anthony dah hilang sahamnya
kembalikanlah tu vida
jalani selagi ada

BUKAN SAJAK KU

cuba ku buang kebiasaan
dikelilingi mereka yang ku sangka teman
takkan dibenar sampai
bak terbengkalai lukisan inai
mungkin sukarnya hakikat
mengenal mana letaknya urat belikat
tawa meracun, takjub melantun
derita bertahun, tak terbangun

tak pernah bermimpi
ku tahu letak diri
bukan sajak ku, semuanya tertolak
langkah tak tinggal jejak
tak daya menyusur
darjat tetap diukur
takkan jadi pilihan
walau latar pertuanan

semuanya tergantung pada rupa
kalau buruk usah dicita
sedarlah diri tak berarah
tiada kesenangan melimpah ruah
bukan salahnya takdir
ataua perjalanan pralahir
aturannya manusia
bisa dibeza-beza

takkan didengar
ku bukan mawar
yatim bukan direncana
Dia lebih menyayanginya
muka dipaling, mata menjeling
diperlaku bak anjing
sabar saja bekalan
menyaksi dusta tak berkesudahan

mahu saja dimuntahkan
makanan yang ditelan
semuanya dasar persahabatan
yang tak penat diperdagangkan
lemah sudah menyaksikan
lakonan kelas atasan
ku sangka bertukar keikhlasan
terserlah benar kepalsuan

cuma tinggal satu peluang
dari ribuan yang telah dilayang
tak pernah memaksa
hanya rela tak rela
aku bosan melayan
sibuk bukan alasan
diluang pada yang tinggi
yang hina tak pernah peduli

sisa pertuanan masih mengalir
mengawal amarah berarus bak air
mujur hadir seniman
yang tak pernah hiraukan balasan
pergilah jauh-jauh
ku tahu pemberian ku tak pernah bersentuh
dibiar mengumpul debu
buang saja buat tak tahu

senyum ku dianiaya
mahu saja ku turun bala
bersuara sedikit dikata senjata
aku dituduh tamakkan masa libur mereka
mana pergi janji-janji
ditunaikah setelah aku mati
jangan khuatir takkan ku tuntut
tak ku terima cerita mengarut

jauh sekali ku minta belas
tunggang terbalik ku biar lepas
kata-kata ku tak pernah pedas
mungkin tak berasas tetapi tegas
setiap patah beracun masih berbekas
takkan ku hina paku buah keras
biarlah aku membina landas
mungkin ku tewas, namun ku bebas

mereka yang pernah ku kenali
musnahkan diri ku dari memori
jelas terang kita berbeza
cuma ku bodoh tak faham cerita
bahagialah dengan cara mu
takkan ku hujani dengan peluru
mati ku jangan diziarah
khuatir loya terbau nanah

andai masih bersisa saudara
ku pinta kalian sejahtera
pertemuan di sini saja
maafkan aku segala-gala
makan minum budi bicara
segala hutang tuntut segera
walau aku menuai dosa
tak pernah ku minta terlibat sama

hentikan khabar, jangan ditukar
biar terpinga, wajar tak wajar
aku takkan pernah matang
suluh saja kamar mu biar terang
takkan bising, takkan berdesing
nada pesanan takkan berdering
kuburkan aku, jangan ditanda
aku hanya sampah dunia

BERBAUR II

jika aku sempurna
takkan singgah kesedihan
kan tertumpah kegembiraan
takkan diratap cinta yang gagal
berpantang maut sebelum ajal
aku kan menangis
bukan kerana terguris

mereka aku tinggalkan
wujud ku tak dihirau
mati ku takkan tertinjau
mujur ketemu yang menjaga
hajatnya melihat ku bernyawa
bukan sekadar menabur janji
tak pernah dia berlagak sufi

cahaya itu pasti samar
takkan ku pagar rasa
akan ku lepas sengsara
mana muncul tak ketahuan
yang ku tahu ia keajaiban
menemani jalan panjang ku
berlalu mengekor gerak waktu

pisah itu pasti
jalinan takkan berubah
tak mustahil mengubah sejarah
rasa itu pasti ada
melahir sayang bagi yang setara
hidupnya takkan kecelaruan
perginya ku izinkan

BAGAI ISTANA PASIR

indah tersergam
semua tergamam
tiada bayu memuput
terpesona hingga senak di perut
adakah ini mimpi
tak bisa tertafsir dek alami
apapun hasilnya
terpaksa aku redha

badai memukul berkali
istana runtuh di kaki
namun cinta berkuasa
membinanya semula
tapi semua takkan sama
kurang lebih pasti ada
namun ku percaya
patinya masih bernyawa

kini istana itu ranap
tetapi aku tak berhenti berharap
bangunlah ia selagi daya
asal tak melawan Yang Punya Kuasa
sayang seribu sayang
amarah kan pasti hilang
kisah lalu biar berarak
api rasa kawallah marak

sakit punggung ku duduk di batu
memerhati pasti jadi celaru
tiba masa beredar pergi
walau di tangan pencedok dan baldi
istana itu bukan milik ku
ia bukti muluknya cinta dia dan kamu
jangan diputus yang ada
pertahankan demi bahagia

APA PUTUSNYA

ku saksi dua lautan
pergi atau bertahan
penantian tiada hujung
ditumpah atau dipasung
keduanya takkan selesai
walau saat nyawa bercerai
semuanya dalam akal
kecamuk atau terkawal

andai aku pergi
takkan dapat berpaling lagi
tiada kali kedua
jemu menguasa jiwa
permainan mu tak bercorak
kaku tak bergerak
kaki mendesak melangkah
sampai mati takkan ku jengah

jika aku bertahan
mampukah menggalas ketentuan
perpisahan itu pasti
telah ternukil sejak azali
perit jiwa melepas
bukan kerana tumpas
namun kuasa itu terlalu kuat
tak sempat tersejat semua keringat

apa putusnya pengaruh rasa
keduanya takkan mulia
aku pengecut andai ku lari
aku bodoh kala melepas pergi
tak siapa akan kisah
hadir ku hanya menyusah
senang ku perhatian kebanjiran
susah ku keinsanan ketandusan

ku saksi dua lautan
aku takkan melayar jawapan
bukan pentingkan diri
tak siapa sebenarnya peduli
meriah malam pesta
fajar menjelma kan mati jua
aku takkan lemas
selagi aku bernafas

AFTER SUNRISE

bila ku buka mata
terasa hangat dadanya
masih dirangkul erat
penangan malam yang hebat
dakapannya membakar rasa
tegangnya membangkit asmara
genggamannya menguatkan degup
hampir telanjang rasa gugup

bibir mesra menyapa
lembut mendarat ke muka
senyumnya jelaskan semua
dilepas segala-gala
rintih erang bergema
senada gerak pinggulnya
raut wajah bermakna
hajatnya tertunai jua

ditindih nafas tak sesak
berat tubuh yang segak
tak pula segan mengacu tembak
apa yang dia berhak
gelinjang sarat berwatak
dikemudi tuan yang bijak
berjaya dia menginjak
bukan sekadar nampak

22.9.08

TIADA KAITAN

jangan kongkong
kenapa bohong
omong kosong
apa dilelong

pasti kan ketahuan
jika bukan kenyataan
bukan budak hingusan
laku dibalas baran

birlah hidup
jangan ditutup
syak menyeludup
tak pernah cukup

menanti kunjungan
tiada harapan
ada kemahuan
terpulang badan

bukan sembah
gugur seranah
tiada helah
cuma beralah

datang disambut
pergi tak menyahut
tiada apa direbut
hanya kalut

THE TOTAL WILL SOON BE NINE

fifteen years have gone
just when i thought they'd leave me alone
another birth would occur in May
leaving me with nothing to say

i had my first niece when i was nine
i thought God had imposed me with a fine
she's now fifteen, a gifted writer
a responsible sister, a gallant fighter

two years after, she had a brother
whose quirkiness often fumed his mother
he said he wanted to be a photographer
an ambition my sister would hardly consider

second niece popped out in 1997
her eyes were the envy of angels of heaven
now she's ten, all sweet and curious
you never can tell when she is serious

third and fourth nieces of different parents
one is fussy while the other, silent
August and November of 1999 must be so proud
to witness their births with cheers so loud

a year after the second millennium
spring and summer burst into a delirium
my sisters welcomed their third and fourth
assuring them the increase in kiddie clothes

my brother's heir came out in July
2006 heard another cry
i felt so so old and cranky
although i was only 23

this May will see another arrival
looks like my nieces have to fight for their survival
another girl in the family, yes it is
the Halil household can't be merrier than this

TERHALANG BEBAS

di balik pagar
pandangan luas terlempar
hijau pepohon malar
ubati rasa tercalar
setelah tiada benar
tatkala semua tersangkar

terlihat unggas terbang
baru tersedar gerak terhalang
bosan menonton wayang
sandiwara terlalu panjang
mengalir waktu terbuang
hadir sekadar mengisi ruang

nyaman angin bayu
sayang ianya bisu
menolak awan kelabu
sesungguhnya ia tahu
tiada guna menyapa muka ku
andai di jiwa sesejuk salju

mentari memancar lemah
redup saja seluruh rumah
pohon berhenti berbuah
bunga tak lagi disinggah lebah
ksedihan tersimbah
gagah menanti rebah

tak upaya bebas
tangan kaki diberkas
merintih memohon belas
dikawal nafsu buas
berpusat dari pentas
jijik pandang sekilas

TENGAH

pernahkah tertanya
bagaimana wujudnya rasa
hati mekar berbunga
harum mewangi di dalam jiwa
tergambar dalam gurau senda
terpancar dalam pandangan mata
menguntum dalam senyum mesra
meresap dan mendap dalam raga

sentiasa teringat dia
tulus tutur katanya
fikirnya lantang menyuara
suka duka tiada drama
tak pernah ku nilai rupa
aku terima apa yang ada
namun nanti sampai bila
jelas dia berlainan selera

takkan cuba dilupa
hakikat perlu ku terima
pertalian mesti dijaga
takkan ku kalah pada masa
goda nafsu musuh utama
kan aku lawan selagi daya
tak pernah aku pinta
datang dan pergi sesuka ia

TANYALAH PADA DIA

tanyalah pada dia
di mana darjat percaya
bukankah sudah disimpan elok
dikagumi bukan disorok
namun mengapa harus hiba
terlalu mengharap yang sempurna
diri mu bukan kecamuk
mungkin merajuk minta dipujuk

tanyalah pada dia
apalah yang istimewa
rasa rindu itu lumrah
akan pasti harus beralah
jika cinta mu menawan angkasa
nescaya senang jiran mu di sana
andai seksa mencengkam kejam
janganlah tidak membalas salam

tanyalah pada dia
bisakah menangan uji dan duga
janganlah kecundang sekali lagi
andai kita tak ketemu nanti
ku tahu di mana duduk ku
tak pernah bermakna lagi diragu
takhta itu pernah ku diam
indah tidak hanya tersergam

tanyalah pada dia
sejauh mana dia mengharga
apakah ganjaran berkorban
tertempahkah syurga idaman
benar tiada apa kan kekal
sekuat mana akan kau kawal
jika benar cinta mu suci
rindu bukan dugaan tertinggi

tanyalah pada dia
selama mana harus berduka
kekasih mu pasti akan tiba
dakapannya buat mu gembira
di mata mu dia segalanya
di matanya engkau sebaik permata
tiada yang akan ditanya
kerana kita punya rasa

TAKKAN JADI MILIK KU

ku pandang langit lepas
putihnya sekosong kertas
mana pergi birunya
tidak sucikah lagi putihnya
tiada apa tergambar
hanya samar-samar

takkan jadi milik ku
walau puas merindu
entah apa dirasa
akhir menanti di mula

takkan jadi milik ku
bukan diselubung keliru
hakikat kejam merampas
pecah sebelum terhempas

takkan lagi ku pandang
andai semua terhalang
di sana kan pulang
di sini terumbang
yang dicari bersilang
yang dinanti usang

takkan jadi milik ku
takkan lagi ditunggu
apa daya ku lawan
semuanya ketentuan

takkan jadi milik ku
yang tinggal akan kaku
takkan bisa mengubat
rasa sudah terikat

YANG DIA TIADA

tak perlu pandang
dah timbul hairan
apa gerangan
tiba meradang
tiada gangguan
meledak baran
apa merangsang
tak dapat dikesan
tidak ketahuan

yang dia tiada
terbias di jiwa
rasa meronta
fikir memaksa
cemburu bertakhta
menguasa tubuhnya
panas membara
nafsu menyata
dia hendak juga

bukan dengki
tak pernah sekali
cuma iri
tak mahu lari
sudah sebati
puas mencari
penawar ubati
tiada lagi
sesal sendiri

TYPICAL SUNDAY MORNING

cerah sinar pagi
cahayanya menerangi bumi
berteman secawan kopi
aromanya memikat hati
enak bersandar berlunjur kaki
buku yang tebal tak lepas di jemari
hari lapang dinikmati
melayan memanja diri

terdengar bunyi mengiau
hati menjadi risau
mana datangnya dikau
takkan pula ku halau
dari tingkap dia melangkau
ke luar rumah dia merayau
ke arah bunyi burung berkicau
nyata dia kacau

ku biarkan kucing itu
menunai fitrahnya yang perlu
balik semula membaca buku
sambil menggigit kuku
kopi di meja telah laku
dalam teko tinggal suku
pantas waktu berlalu
menyaksi pagi minggu ku

TO NURUL...

sembang rangsang rasa
petanda kita berbeza
selisih membela kata
bergema satu meja
namun segala kembara
menuju arah sama
senang mengharga ada
jelas di gelak tawa

tukar alih bicara
didedah seikhlas jiwa
takkan ditera makna
simpan sendiri saja
bual banyak belaka
bersulam pesan berguna
hadir melenyap duka
lemas dalam suka

budi cermin manusia
mengkanta asal-usulnya
saling tukar cerita
hilang cemas di mata
lapar sama dibuka
hidang pemuas selera
tertangkap berjuta rahsia
pandang takkan lupa

kasih dilayang terima
nanti tukar pula
jumpa kali kedua
tahu apa utara
makan hantar dijaga
keliru dibalas apa
kenang gerak masa
sepetang bersua

TINGGAL NAMA

cinta pandang pertama
wujud tanpa diduga
mata tak lepas memandang
tiada yang melarang
pantas waktu berlalu
saat kita bertemu
mengapa gegas pergi
tak bolehkah sebentar lagi

takkan ingin ku soal
gerak mu tidak terkawal
apa salah ku kini
tiada lahir dari mu bunyi
sangkakan semuanya baik
rupanya dia terdetik
kembali ke riba cintanya
padanlah kau tak bersuara

kita tinggal nama
hapus sudah suka duka
bebaskan rasa belenggu
aku telah melupakan mu
cinta tiada lagi
antara angan atau mimpi
pergi segera ku mohon
hentikan segala lakon

TAK PERNAH HENTI

tergambar di mata
aku tahu dia sengsara
melayan segala pinta
yang nyata sia-sia
tidak berbekal apa
semua terpaksa diusaha
buat melenyap rasa
hancur hati diranap dusta

genangan di mata
sudah cukup jelaskan makna
di mana letaknya dia
adil pulangkah dari kelana
faham makin terpinga
jujur meracun setia
iri ditabal raja
harus bagaimana

gerak di mata
terbias satu petanda
tak mungkin rela
melihat diri dikuasa
adakah cara membangkit gembira
adakah daya lakukan semua
adakah kan terbuka deria
menerima kata sebenarnya

TAK MAKSUD

bubar segala isi
pernahkah sekali peduli
pandang mata nyata mahal
tatap sepasang tak terkawal
lempar kata terguris
ditapis setiap titis
kasar saja balas
walau tak berasas

rayau mencari mangsa
langgar saja dah rengsa
cemas tidak tertahan
pijar satu badan
lewat ribut menyinggah
tertangkup rahsia tertumpah
basah satu pelantar
dikutip nyata sukar

singkap tabir janji
tinggi puji diuji
tinggal membuah kisah
ingatkan dah berubah
sayang kan luntur bersama
selagi hayat ada
jenuh dihurung keliru
tak tahu kata tak tahu

TAK CUKUP KATA

lenyap semua di minda
terlalu menurut rasa
terbuang segala cara
menyingkir bisa curiga
angin menghembus berita
tiada apa sempurna
tersungkur ditolak duka
tak cukup kata

terjurai untaian mutiara
sinarnya tak bisa mereda
golak jiwa selama-lama
dihasut bisik mencerca
diugut gertak penggoda
rebah kali kedua
tak cukup kata

seteguk air bergula
manisnya sekadar ada
gelap warnanya gambarkan lara
lenyap buihnya isyaratkan binasa
jatuh tak semena
angkara siapa
takkan bangkit semula
tak cukup kata

STILLNESS

kenapa berhenti bernyanyi
menghidup hati sunyi
mengapa diam bersembunyi

lagukan irama jiwa
agar hilang gelora
melanda menyesak dada

telan segala pahit
kesannya takkan terpalit
walau lena mengulit

carilah dia
hidupkan nyawanya
agar tertunai rasa

SIMPAN SAMPAI AKHIR

dalam lirik mata
seribu rahsia menguasa
sesekali tertumpah
benar atau salah
mungkin terlalu leka

dalam setiap gerak
tersingkap seribu watak
entah betul entah tidak
entah kemas entah selerak
takkan tinggal jejak

dalam setiap kata
makna melayang rasa
mampukah terima
tidakkah kecewa
pintu tak lagi dibuka

dalam setiap irama
terpapar kisah kita
jelas bukan maya
bukan khayalan semata
enak di telinga

dalam setiap sentuhan
tersirat kehormatan
tercabar kesabaran
tertelan tak terluahkan
simpan sampai akhir zaman

SHORT AND SWEET...NOT!

singkat saja balasan
dikunci masuk dalam pesanan
entah apa bebanan
hingga aneh diperlakukan
semacam sedang membina sempadan
tingginya melangkaui kewarasan
apa ada di tangan
takkan sama di ingatan

mungkin fitrahnya begitu
tolaklah aku selagi mampu
asal kebencian tidak ditumpu
cahaya kepastian menapis ragu
biarlah dia melayan sayu
susah senang dia yang tahu
bukan simpati ku hulur pada mu
tapi penawar andai kau perlu

SEMBANG BORAK BUAL BISU

sembang-sembang
fikir melayang
gelak riang
fakta bersilang
terlupa pulang

borak-borak
bersulam gelak
kata bertindak
suka berteriak
benci tempelak

bual bicara
terzahir dari jiwa
berbalas bait mesra
selami segala ada
ikhlas merakam rasa

diam membisu
tutur terkulai lesu
tak jumpa yang diburu
tak cari punca setuju
terbiar mengumpul debu

SEGAR

ruang tiada nyawa
terangi untuk siapa
hias kerana apa
bauan tiada guna

tak pernah disentuh
dipancar panas lusuh
air di pasu keruh
pasak tak lagi kukuh

ubah seberapa mampu
ianya tetap kelabu
debu semakin jemu
berkumpul seedar waktu

tiada gerak balas
kaku tiada bebas
keluhan dilepas
dunia bagai terhempas

suara lama tiada
empunya entah di mana
samar pantul suasana
tutup saja pintunya

SEDANG ENAK

jarang memusing kepala
memikir sakit dunia
diri tak terjaga

tak pernah ditutup peka
cuma bosan menyinga
sedih tiada akhirnya

bilakah akan dirasa
sentosa alam maya
makin singkat hayatnya

ganas tak henti menyala
meragut percaya
memecah setia

jangan disoal salah siapa
ini beban kita
walau tiada dosa

SEBENARNYA

jari-jemari bekerja
mengusap lembut di kepala
menenang segala punca
yang perlahan memamah isinya
gugur sudah di mata
helaian rambut yang kecewa
tuannya menanggung seksa
otaknya dilanda bahaya

selalunya
sakit datang bertimpa
azabnya ditahan saja
tetap bergerak seperti biasa
ada yang tidak menyangka
khabar mengejutkan mereka
takkan aku upaya
menolak takdirnya

tak pernah dipinta
ia datang tiba-tiba
mujur dikesan segera
jika tidak melayang nyawa
walau takkan gila
akan ada kesannya
takkan berfikir sempurna
selagi tak sembuh luka

sebenarnya
akur ku pada ujianNya
walau terpaksa berduka
memikir akhir dan mula
menilai gagal dan jaya
andai tak bersua
maafkan segala-gala
pasti kan bertemu semula

21.9.08

SEBELUM LENA

senyum menguntum sentiasa
bila teringat akan dia
terpancar ikhlas di mata
merdu suara di telinga
tak tertampung isi dunia
menanggung rindu di jiwa

bulan sinarlah cahaya
menerang rasa di dada
nyaman bayu menerpa
menghembus bait-bait cinta
walaupun bukan di syurga
namun nikmat jelas terasa

bahagia dalam dakapannya
aroma tubuhnya bangkitkan asmara
ku belai rambutnya penuh makna
bibir lembutnya mengucup mesra
gerak jemarinya mempesona
setiap lekuk diteroka

SEBELUM LENA II

pandang matanya mendebar
tak pernah gagal memancar sinar
hangat badannya merangsang
dakapannya membakar erang
lembut bibirnya menyejuk sang api
makin dikucup tak akan lari
mulia jiwanya penuh cinta
bual mesranya menguji daya

roman mukanya tampan
tak diduga aku tertawan
jelas urat di lengan
dibaluti kulit cerah menawan
tegap tubuhnya memuaskan
golak nafsu tidak tertahan
saat menggenggam tangan
hampir tergadai kewarasan

peka seluruh inderanya
tiap sentuhan menghidup rasa
lirik matanya bagai berkata
walau mulut ditutup sempurna
jemarinya nakal meneroka
merintih halus kala bersama
ku sandar kepala ke dada
degup jantungnya semerdu irama

takkan diperjudi raga
andai nanti terhalang jua
hadirnya mengisi damba
setelah berkurun dikecewa
adakah ini cinta
atau pesona nafsu semata
ikhlasnya menerang sukma
andai terpadam tiada gantinya

SAAT BERANGKAT

tidur bergebar intan
tak kunjung lena
rasa di dalam ketahuan
tak ketemu punca
lewat beteman dian
tak pula dinyala
apa yang kekusutan
langsung tak jelma

duduk bersandar di kerusi
menghadap jendela kaca
bintang-bintang menyendiri
tak sampai makna
dituang air berbunyi
sua piala ke muka
hirup sekadar memuas diri
hati tetap lara

rindu datang menyebat
sepi makin kejam
hampir teruji hormat
tak rela mengancam
gering tak dapat dirawat
pucat wajah tersergam
cinta hatinya tercegat
langsung tergamam

piala jatuh ke lantai
langsung tiada gerak
dia sudah terkulai
hilang daya berpijak
paling pandang ke bingkai
hilang wajahnya tak berjejak
tiada kusut masai
tenang dia berarak

RINGAN

ringan bagai di awangan
pulang semua kesakitan
rindu puas dicari
habis digeledah mimpi
sepi tak jumpa
meriah entah di mana
mengapa biasa tidak muncul
di mana harus disusul

pergi semua biasa
habis yang tinggal apa
cari semua arah
tiada satu yang bertuah
rumah sepi kosong
rumah meriah tak jumpa lorong
ke mana kepergian
berat terasa beban

biasa terus menyepi
entah apa golak hati
dijejak terlalu sukar
dipanggil tak terdengar
tidur malam keresahan
khuatir hilang kewarasan
hilang rindu harap sementara
pulanglah sepi meriah biasa

RENUNG DI HARI MINGGU

terkadang aku terfikir
adakah hidup ini hanya pentas
adakah dilalui penuh tenang atau gegas
sampaikan tak tertangkap nafas
perlukah setiap kata dialas
hingga panjang berjela kertas
adakah jalan panjang ini luas
hingga tak tercapai langit lepas

terkadang aku terfikir
mengapa wujud janji
mungkinkah ia dipatri
bilakah kan tertunai nanti
atau hanya menyedap hati
atau terpaksa menunggu aku mati
supaya tak perlu meratapi
namun akankah ia ditepati

terkadang aku terfikir
adakah ini bahagian ku
penuh duka penuh ragu
gembira hanya pendahulu
kisah hidup yang terganggu
di mana harus ku cari rindu
di mana harus ku buka pintu
sempatkah nanti atau terpaku

RASA BUAT ABANG IV

menanti tak kunjung datang
tak tertahan rindu bersarang
seksa hati mu mengharung
sakit ditelan tiada hujung
walau terpahat di jiwa
namun rasa menggoncang sentiasa

jangan dibazir waktu merenung
walau lambat pasti kan kunjung
jangan dilemas lautan
punca air mata kerinduan
dia pasti kan datang
mengkhabar berita senang

jangan diiring sedu sedan
bukannya mati bercerai badan
walau dipisah sempadan
cinta suci kekal di genggaman
usah dirindu keterlaluan
khuatir nanti sakit menawan

dia pasti kan di mata
jangan digadai percaya
sabar itu penawar
walau diharung penuh sukar
yang ku harap tawa gembira
moga kekal ke akhir masa

RASA BUAT ABANG III

abang
seperti baru semalam
perkenalan tanpa salam
kita berkongsi kisah
membenci mu ku tak pernah
dirai suka
dikabung duka
semuanya sempurna
sebelum badai melanda

abang
ku tahu kau banyak mengalah
mengaku segala salah
diam bagi mu cara
redakan golak rasa
namun aku buta
mengejar yang tiada
hingga tercetus khianat
yang takkan pernah mengubat

abang
tak pernah ku tabur benci
apa lagi sindir caci
segala coretan hanya luahan
kejahilan ku menangan dugaan
jauh ku dari mu bersebab
hanya itu penawar mujarab
megelak kegilaan
menghindar kecelakaan

abang
doa ku tak pernah putus
walau terdampar di padang tandus
sejahtera mu utama
sejahtera ku biarlah terakhirnya
bahagia mu mengukir senyum
bahagia ku mungkin belum
payah ku buang kenangan
walau yang pahit menyakitkan

abang
aku minta cuma satu
jagalah dia dan diri mu
kita mungkin jauh
budi mu buat ku tersentuh
amanlah diri mu dan dia
percayalah aku gembira
tiba nanti saat ku pergi
jangan pula ditangisi

PANDANG TERAKHIR

tatap wajah
tak pernah berubah
matanya masih basah
merah melayan resah
getap bibirnya mengarah
tak mahu berkongsi pahit kisah

hiba memandang
hidupnya berseorang
seksanya tak mahu pulang
kesalnya tak tertampung ruang
tuturnya tak terang
mencari maksud terhalang

harus bagaimana
menghulur bantu segala
takkan mahu dia membuka
apa mengancam rasa
simpan sendiri sahaja
melarat dikuasa lara

takkan tertahan
pilu jiwa bergenangan
akan sentiasa kesedihan
dia degil curahkan
yang terbuku disimpan
yang pahit telan sendirian

hendak ditinggal
khuatir dihurung kesal
takkan dapat dihafal
walau didedah awal
hayatnya mahal
jangan disinggah ajal

OOPS!

mata
disorot semampu ada
gunanya melihat dia
yang cairkan jiwa
melemah segala-gala

rasa
bangkit menguasa
terbuka semua indera
menilai pesona
teroka nikmat dunia

gerak tubuhnya
buat ku tak lena
terdengar bisik kata
menusuk ke telinga
merangsang semua anggota

raba
jelajah tubuh badannya
nafsu meledak nyata
erang merintih suka
puas ditimpa dia

NO WONDER I'M AT THE BOTTOM

so i'm not good enough
perhaps it's my wrath
in denial to realize
can't be bothered to analyze

so i'm not good enough
perhaps i'm just too rough
hurting people now and then
snubbing friendships to their end

so i'm not good enough
my writings are worth a sarcastic laugh
i'm not as great as compared to others
should've been deafened by the merciless thunders

so i'm not good enough
they say i lack originality and craft
i have no say, thank you, nonetheless
since they have never lit my darkness

so i'm not good enough
i belong more to the trash and stuff
okay, just say whatever you want
you aren't worth my rant

so i'm not good enough
perhaps commenting is quite tough
just keep your thoughts to yourself
if you could, crystallize your wealth

so i'm not good enough
i'm aware i'm just a stupid dwarf
keep on being inspired but no progress
no wonder my readership is less

MUNGKIN JALAN AKHIR

rindu menyesak fikir
menyelak helaian janji yang mungkir
mampukah bertahan di balik tabir

pandang ke luar jendela
hilang sudah daya
tiada lagi bersisa

mengapa mengharap yang kosong
jenuh menunggu yang tak kunjung
jelas sudah ihsan terpasung

pisau sudah di tangan
musnahlah semua kenangan
tamat semua penyelesaian

MUAL

pantun gurindam segala
tertunai yang didamba
penat dia menyapa
tak terpandang sebelah mata
terlihat dia leka
mabuk diracun cinta

lantak kalau alami
tak berkudis di kaki
jangan lalai bermimpi
tak kata kekal pergi
usah dikepung api
baru merasa dihargai

sentap benang di baju
akan habis sebelum waktu
bukan tindak melulu
bukan lagi baru
biar saja bisu
sejauh mana dia setuju

kata mesra menguasa
tak sempurna susun aturnya
dicanang pejuang gerak gaya
apa sebenarnya dijaga
biarlah dengan cara
masa tak pandang rupa

MELAYANG

dalam melayan leka
teringat akan dia
segala kenangan terawang
mengisi segenap ruang

bait-bait kata masih kedengaran
angin membingkis perkhabaran
bahawa dia tenang dalam kerehatan
mengharga nyawa dalam kesyukuran

alunan irama merasuk
menyusup ke tulang rusuk
membangkit segala cita
merangsang segala rasa

mahu rasanya ku sambung lagi
tak rela irama terhenti
namun semua ada aturan
segala yang mula pasti berakhiran

lewat ke jendela
merenung luas dunia
fikir ku melayang
tak sedari berlalu siang

SERATUS

seratus
nafas masih berhembus
urat belum putus
tulisan masih lurus
masih mampu merengus
niat kekal tulus
hasrat belum tertimbus
masih belum mampus

apa ada pada angka
yang menyimpan pelbagai makna
mengapa seratus dipuja
tiadakah yang lain juga setara
andai seribu dicita
sempatkah sampai ke sana
mampukah lagi berkarya
meluah suka duka

segala rasa tertumpah
putih atau merah
hitam kerap singgah
berkongsi segala kisah
walau tak terlihat marah
walau tenang tak tercurah
digarap penuh indah
menenang jiwa yang gundah

segalanya penzahir rasa
daripada memekak telinga
bukan membuka rahsia
yang disimpan selagi daya
hanya paparan mata
terpulang menilai barisnya
setiapnya ada cerita
kalaulah dapat diterang semua

biarlah seratus dahulu
asal tidak mengumpul debu
semoga pergi semua pilu
semoga hapus semua rindu
aku takkan jemu
meluah rasa dalam ku
kerna ku tahu ia mampu
mencair semua batu

LUAH DI PAGI AHAD

diam tiada bunyi
apakah sudah mati
sebelum sempat dicari

pergi tanpa kesan
sudahkah dicemar bosan
menunggu lama tiada perkhabaran

walau tidak bisu
mampukah dua dunia bertemu
menzahir yang terbuku

lemas dalam fikir
adakah akan mungkir
menanti masa berakhir

cari yang didamba
akankah ketemu jua
berisyaratkan rasa

tiada lagi marah
mampukah mengubah
derai hati yang punah

KUCAR-KACIR

sukar menyata hasrat
bait kata terikat
peluang pantas tersejat
satu pun tak lekat
turun lagi hujan lebat
patinya hilang pekat

payah menzahir rasa
datang tak berkendera
lenyap dalam maya
sesat dalam berjuta manusia
merebut cita yang sama
merampas bekal dari yang lena

bicara soal hidup
pintunya tak pernah tutup
lontar suara sayup-sayup
antara dengar dengan gugup
sejarah bisa dicelup
fakta sukar ditiup

mengapa harus soal
jika kau tahu takkan kekal
diri sendiri tak terkawal
segala diambil secara pukal
tiada guna berundur awal
percuma jadi modal bual

KECAMUK II

berbaur rasa di dalam
terkenang kisah semalam
tiada berlaku kejam
mengapa bisa mengecam
hakikatnya sudah tenggelam
peluang semakin kelam
bukan melanggar yang dikalam
takkan melawan alam

berdayung di lubuk jiwa
cari apa yang dirasa
cecah tapi tak jumpa
redah tiada binasa
mungkin bukan masanya
tak terniat berpaling kata
siasat apa didamba
kan ketemu yang diminta

tatang apa diimpi
jangan lepas pergi
bukan mudah mencari
sesat dalam mimpi
namun jangan ketepi
jangan dipunya sendiri
andai terlalu pasti
tak mustahil ditarik kembali

KALA BUNGKAM

tatap langit malam
yang jelas cuma suram
bulan bintang menyinar kelam
perlahan dibayang awan hitam
hendak diubat derita berbalam
pedih rasa tak terakam

titip khabar ke langit
adakah kalian menderita sakit
atau dikecam sulit
hingga sekerdip pun tak terbit
menerang segenap bukit
cahaya nakhoda berakit

tiada balas dihantar
sepi hati terlantar
adakah pujaan hati tercalar
hinggakan amat sukar
menjawab khabar
adakah masih bergebar

akan ku tunggu jua
hingga siang menjelma
hari baru penuh duga
menguji takat hidup sebenarnya
pulihlah segera
rindu ku seluas semesta

JUMPA

ku kesat peluh
punggung dilabuh
menunggu jenuh
bas dari jauh
tanpa disuruh
bola mata menyuluh
pandangan tertaruh
ke batang tubuh
ditutup kurung lusuh

roman mukanya penat
berguguran keringat
dia berjalan lambat
langkah tersekat-sekat
dia datang dekat
tapi tak rapat
rambutnya hitam pekat
kain kurungnya singkat
beg sandang digenggam erat

nafas dihela pantas
bahana cuaca berlengas
genggaman dilepas
dalam beg lengan dilemas
rakus dia meramas
dikeluar karung kertas
ditahan nafsu tumpas
memamah kuih panas
perut lapar dialas

dilontar pandangan kosong
tanda dia tak mahu berhubung
kuih tidak dipotong
dimakan hingga ke hujung
kepala dijunjung
melihat kelibat kunjung
direnyuk dibuang karung
selera tak dibendung
bas berhenti di lorong

mata ku tak lepas pandang
mengekor dia dari belakang
naik ke perut bas panjang
seribu soal bersarang
apa yang terhalang
hidupnya susahkah senang
hari sudah petang
giliran aku pulang
lelah bukan kepalang

JELAS TERTERA

penat tak terkata
menyudah kerja
buat memuas rasa
pemberi ilmu dan pelanggan setia

senyum jelas tergambar
di wajah mereka yang hambar
tatkala melihat wajah yang gemar
berkongsi cerita tanpa gentar

damai rasa hati
berjumpa insan yang ku kenali
rindu telah diubati
kan ku simpan sampai mati

riang di jiwa
sempat lupakan lara seketika
ku harap esok kan tiba
membawa rasa yang sama

JELAS BUKAN BAYANG

hilang semua kecamuk
pergi segala merasuk
lenyap sisa merajuk
syukur ku tertunduk-tunduk

pudar gentar di dada
puas meluah semuanya
alangkah indahnya rasa
andai semua seperti dia

tekun dia mendengar
terbit kata yang wajar
tiada fikir disangkar
akrab semakin mekar

tulus ikhlas hatinya
menyata rasa di minda
tiada selindung makna
telus diresap telinga

ku harap seseorang terima
apa yang ku mahu sebenarnya
bagaimana harus ku percaya
jika percaya ku dicuriga

JANGAN DEGIL

mengapa masih membisu
adakah itu perlu
aku risaukan diri mu
sesat tiada arah tuju
tak ingin kaku seperti tugu
tak rela bebas bercelaru

kesatlah air mata
tiada guna meminta
apa yang takkan tiba
jangan diracun percaya
walau jujur memaksa
ia bukan milik kita

berhentilah mengalah
tiada yang benar dan salah
tiada usaha dan tuah
jangan dilayan yang payah
sesungguhnya diri mu bermaruah
tiada apa yang muda

simpanlah segala duka
tak guna walau dibaca
jangan langkah seinci cuma
takkan lenyap hati derita
jalanlah semampu daya
kalaulah kau tahu nikmatnya

IT'S JUST LIKE ANOTHER DAY

it's just like another day
but i don't know which one leads the way
keep on getting lost so easily
what is this world made of, really

it's just like another day
when i always get my way
believing that love is all but great
as it tears my heart in shreds

it's just like another day
i hope my sanity will not decay
it's never easy to please people
who's dumb enough to say life is simple

it's just like another day
when i've to keep my feelings at bay
i wish i could be more composed
and i'm sure i don't need a rose

it's just like another day
i will step forth come what may
push me down, i've nothing to hide
isn't life itself an interesting ride

it's just like another day
down on my knees, i silently pray
for the happiness of those i love
for the blessings from Him i serve

IKHLAS

ikhlas menyuara rasa
mengalir dari hati
terpancar dari minda
walau tiada siapa peduli
coretan luahan jiwa
bersemi bersama mimpi
bertolak ke daerah kata
terpantul peribadi

ikhlas sebenarnya senjata
mampu mengganti pedang
tajam pandangan mata
tumpahkan hati yang lantang
sorot seribu makna
memanggil yang tak pulang
agar rapi sempurna
tidak tergadai siang

ikhlas menafsir dia
tertikam bait-bait benar
mampu melenyap derita
terhapus segala sukar
tawanya santun bergema
terbunuh rasa gentar
senang bersamanya
takkan rela ditukar

GERAK RAMBANG

langkah demi langkah
menyaksi dia berubah
harinya semakin cerah
andai ditinggal serakah

cerminnya habis retak
pantulan terhalang gerak
samar beralih watak
menerang yang tidak

dunia bakal ketahuan
kembali menjadi bosan
dilepas semua beban
tinggal tiada pesan

aman didapat
walau tak tersurat
benci tersejat
iri langsung pucat

FIKIR

semalaman ku terjaga
memikir sedalam-dalamnya
mengapa ada kosong
menghantu segenap lorong
terkesan dalam rasa
terbias dalam gerak gaya
sakitnya tak kelihatan
bisanya menusuk perlahan

apa lagi dicari
bahagia telah menanti
namun kosong makin hampiri
rasanya bagai mimpi ngeri
bagaimana harus ku tangani
bilakah ia akan pergi
akankah nanti kembali terisi
atau cuma taburan janji

kembara takkan pernah tamat
walau kaki terikat
layangkan semua mimpi
nescaya Dia kan dengari
rintih berkandung ikhlas
minta perit dilepas
ku pohon semampu hati
kerna niat ku hakiki

ENTAH MENGAPA

andai dibasuh dengan warna
tetap kan putih jua
rasa takkan berubah
yang berminyak takkan bergetah
erti disalah tafsir
dia jua yang mungkir
apa ada di mata
takkan sama bergema di telinga

andai diconteng dengan arang
suasana takkan terang
usahlah melontar janji
jika tak pernah reti mengkaji
pandang tinggi ke awan
impian menembus kewarasan
apa hendak diduga
ditinggal lama lagi tak rela

andai ditampar di muka
pasti ada sebabnya
takkan sengaja bertindak
jika maruah tidak dipijak
bagai buku dengan ruas
umpama mengoyak kertas-kertas
pernahkah terdetik melihat
akal dan hati pun santun bersilat

andai digigit sisi kasar
jangan jadi modal bertengkar
mungkin tak punya gunting
memotong babak yang pusing
luah segala isi
apa lagi yang diwarisi
jangan didesak yang perlahan
satu benda takkan berjalan

andai dirai ditabur beras
mengapa mungkin perlu bertegas
akal melawan adat
apa jadi dengan selawat
serap semampu mengkin
siapa tahu dapat yang diingin
cipta tak perlu kata
niat menguasa semua

andai dipulang tidak berbalut
takkan jatuh hukum kedekut
semua melalu rintang
keliru penuh bersawang
siapa kan sampai dahulu
elok atau berdebu
baik terima kurnia
jahat terpinga-pinga

ENTAH APA-APA

tenang dia menyapa
tertanya apa sulitnya
aku tersenyum saja
ku jawab tiada apa
bukan maksud di mata
memandang tembus ke jiwa
cuma terkadang alpa
perhati seraya menduga

musykil singgah di kepala
apa yang aku rasa
adakah cinta sebenarnya
atau hanya nafsu meronta
senyumnya buat ku gila
santunnya cairkan dunia
takkan dia rasa yang sama
ku harap ia sementara

terkadang ku fikir jua
apa yang dia ada
sampai aku terseksa
melayan gurauan cinta
ku tahu dia luar biasa
pasti tertarik daya
namun ku harus bersedia
melepas kesemuanya

DEMAM

panas
suhu mengganas tanpa belas
sekujur tubuh lemah dan lemas
anggota longlai bukan malas
tak daya berfikir pantas
kalaulah dapat dilepas
dingin gigil segala menjejas

berat
kepala berdenyut hebat
sakit tak pulang walau dibebat
peluh dingin tak mampu dikesat
sudah ditelan berbotol ubat
urat saraf umpama diikat
perit menusuk ke tulang belikat

batuk
kalau bergema sampai tertunduk
tak tahan sampai terduduk
selesema menyerang teruk
hingus meleleh suam sejuk
tekak uzur bukan merajuk
tapi azab mencucuk-cucuk

dugaan
sakit itu ujian Tuhan
terlalu menguji kesabaran
tewas teruk pada yang baran
menang bergaya pada yang beriman
namun sebabnya ikut keadaan
cuaca, sekitar, rasa dan daya tahan

EH?

itu ini
mana satu
puas dicari
akal buntu
lihat di sana
tak jumpa kelibat
menyerah asa
terhalang lihat

cari cari
di mana sembunyi
entah ada
entah reka
masa menanti
sabar menguji
tak tunggu lagi
rugi sendiri

atas bawah
semua geledah
kiri bersepah
kanan menyumpah
selongkar semua
biar puas mata
cari segera
nanti tamat waktunya

cari cari
mana dia
puas berlari
tak jumpa apa
pandang pelik
di depan mata
buta atau celik
itu dia!

DALAM

berdehem tua memandang
bergema segenap ruang
rapatnya luar biasa
memang ada yang tak kena
gagal sembunyi sifat
terbongkar sebekas firasat
mana lagi mahu menutup
terbakar helaian terup

malu tersipu-sipu
pernahkah dia tahu
mungkin terlebih campur
rasa pedas lantas melecur
mana tak dihinggap lelah
beruang kempunan madu lebah
hempap jolok dalam-dalam
tak dapat rindu dendam

lalu pelbagai duka
entah di mana timbul cerita
mesra terlebih gula
pucuk ulam sama-sama
muntah segala isi
penawar banyak lagi
saksi akal sendiri
bilalah akan berhenti

CUMA KATA

sebar cerita cinta
indah bagai syurga
pastikah akan suka
atau rasa sebaliknya
ada yang bisa terima
ada yang anggap bala
walau terdetik rasa
disaran simpan sahaja

kata biar beerti
jangan disulam sangsi
risau takkan tertampi
terkandang dalam mimpi ngeri
susul siasat berkali
ada pasti kecewa nanti
terlayar benih berani
meretak semua sisi

andai menolak bencana
jangan habiskan isinya
simpan sedikit sisa
buat bekal berkala
hendak berkongsi terserah masa
tak semua akan terseksa
kelana sebentar cuma
teruslah selagi daya

BUKAN RUPA

mengapa dia menolak
segala yang dia berhak
ada apa yang dielak
terasa kurang enak

ku fahami niatnya
dia tak ingin membangga
rupa parasnya sempurna
dipuja dan didamba

aku juga mengerti
hidupnya ringkas dan rapi
namun jangan rendah diri
semuanya kurnia Ilahi

andai boleh menukar
ingin saja aku sambar
apa yang tergambar
nyata tiada samar

terimalah diri mu seada
di mata Dia hanya taqwa
endahkan kata mereka
aku tahu engkau gembira

BISAKAH KEDENGARAN

dia bebas berkata
menumpah rahsia
mengancam percaya
merebah setia

aku diam saja
tak pula merela
bosan mengiya
menyaksi drama

sesekali aku hairan
apa cuba dicahayakan
mengapa perlu melindungkan
sinar bulan keseorangan

malas pula menafsirkan
bagai tiada pekerjaan
ditanya tiada jawapan
dipaksa takkan ketahuan

aku biarkan saja dia
hanyut di dunianya
terpulang dia menerima
kata sang miskin hina

BENGANG

sana sini masalah
bagai retak menanti belah
dia mahu yang itu
di sana pula hendak yang satu
bingung memikir sikap
apalah yang hendak ditangkap
jiwa kacau tak jana fikir
berebut pingat lari ke akhir

kadangkala risau juga
yang mana benar di mata
semuanya ku ambil berat
bukan akrab cuma rapat
ingin hendak ku lari
bertimbun lagi masalah sendiri
hendak bergerak kaki terikat
pegun pula lantai bertingkat

lancang kata bergema
pastinya pekakkan telinga
tahukah apa disuara
atau cuma bebel semata
setuju takkan didapat
walau disentap seluruh kudrat
mana hilang semangat
taksub rasa diri hebat

dilayan makin melarat
ditinggal bebas didapat
peranglah sampai bosan
menang kalah hanya alasan
tinggi burung di awan
kan terkorban dalam lautan
tengkar balah segala
berbunuhan aku tak kira

BELUM RANUM

geraknya pantas
yang lambat dipintas
entah apa digegas
ruang cukup luas
untuknya lepas bebas
mencari yang digalas

halangan nyata tiada
terpulang dia membawa
maksud asal kembara
sampaikah yang dicita
mampukah dia terima
andai kalah menjelma

alaminya dia pemarah
kaya sumpah seranah
tak tahu mengendah
yang lain luka berdarah
tak pernah mahu kalah
biar tercela sahsiah

dia belum ranum
putik belum menguntum
walau terbonjol halkum
belum merasa jatuh merudum
pati yang pahit belum diminum
setiap pandangan tergambar kagum

BACA RASA DALAM

mengapa diam
sudahkah hitam
hati mu yang kejam
tak lepas mencengkam
walhal di dalam
seribu kusam

sudahkah puas
menyaksi lepas
jiwa yang tumpas
menagih ikhlas
kasih tak balas
menolak keras

dapatkah cita
menjadi nyata
terang lumrahnya
semua dosa
diredah jua
melampias rasa

pernahkah lapang
sua terlarang
tak ada hutang
cuma meluang
di sana ditatang
di sini ditendang

paling ke lain
tiada lagi jalin
terserlah yakin
akankah terjamin
bangkitkah ingin
sempatkah ditalkin

APASAL TAK JUMPA NI?

masih tercari-cari
apa harus dimengerti
lenyap segala bunyi
bagaimana harus jejaki
petunjuk lari
disapa tak berani
bengis muka diberi
mungkin tanda benci

jelajah semua lorong
namun hasilnya kosong
sudah dijauh bohong
walau hebat terdorong
diri diterpa bingung
fikir tak berfungsi langsung
dengar tapi dengung
amat tetapi canggung

diredah puncak soal
diulang tetapi bebal
ditolak sudah terpenggal
satu pun tak kekal
dicari muka yang kenal
tak jumpa yang berakal
takut pula meramal
diterkam kesal

berhenti di balik telaga
masih tak jumpa jawapannya
ditangguk air meminta
diberi isyarat segera
terbuka semua dunia
meluah segala yang ada
mujur berhenti seketika
jawabnya ada di sana

PENCURI HATI

suka
akhirnya ketemu dia
senyumnya tak pernah pudar
walau dilanda sukar
rindu dilepas
kasih dibalas
tiada cemas
hanya puas

tenang rasa
bila ku tatap wajahnya
halus bersih bak sutera
bibir segar bak delima
mata bersinar bak permata
bisik suaranya bangkitkan asmara
yang lama tertunda

nyaman
hembusan bayu menyapa muka
begitulah juga cinta kita
tiada gegas, hanya bebas
semuanya berasas, bukan belas
tak pernah gagal menafsir
menyesak fikir

lega bertemunya
diri mu akhirnya tiba
menyemai benih cinta
mengubat rasa lara
menghilang rasa curiga
menamatkan gelora
jiwa yang sentiasa tak dipercaya...

PERANGKAP

serba salah
mampu meroboh rumah
engkau seorang
tak mampu memuas sekandang
telah maklum akan usaha mu
namun itu tak pernah puaskan hati ku
sukar, aku tahu
tapi itulah bahagian hidup mu

itu perangkap
tak guna diterang yang gelap
tak upaya menguasa cakap
tak bermakna segala ungkap
tak tertoleh yang tak pernah lengkap
tak teronta yang ditangkap

mungkin aku kolot
tumpuan tak tersorot
sanubari terhencot-hencot
mengejar fahaman yang membolot

adillah sekali dengan diri ku
walau masyarakat rasa itu tak perlu
walau diri mu sampai mati tak setuju
walau jantung hati mu unjukkan sekutu
ungu tetap ungu
takkan mungkin bertukar biru
kalau tiada yang merubah waktu

PERHATI

dia kepenatan
melayan kerenah membosankan
telah layu di jiwa
rasa belas ihsannya
bukan minta dipulangkan
cukuplah sekadar penghargaan
nyata pintanya ditolak
dicemar sombong bongkak

dia cuba pejam
mengembalikan tenteram
namun apa upaya dia
mendiamkan 'sang cendekia'
tampak pintar di luar
padahal kencing di dalam seluar
rugi saja disanjung dipuja
akal kosong ilmu tiada

dia melihat jauh
adakah percayanya kan selamanya utuh
terhadap seorang teman
yang ditelan khayalan
sanggup membunuh demi impian
walhal rumahnya kegelapan
nafsunya kelaparan
jiwanya kekosongan

dia menyandar di kerusi
menyaksi dunianya berputar sendiri
ingin rasa mahu perhati
apa yang dibawa bekal nanti
adakah penat adakah tenteram
sesat temannya sudahkah terkalam
cepat dia meminta hindar
jangan lambat temannya sedar

PILIH KASIH

pandang tidak
jauh sekali mengajak
sahlah tertolak
jatuh talak

rupa si dia
rupa yang sana
jelas sempurna
diidam didamba

hinakah badan
sampai terbeban
dibunuh tak mati
diusir tak lari

beratkah dosa
kedekutkah pahala
burukkah muka
celakah lakunya

takdir tak bisa disalah
kenyataan tak bisa diubah
sudah mewaris zalzalah
terbuang segala hujah

sudahlah
dia dah tak suka
tak guna masam mencuka
buang tenaga dendam segala
dibunuh pun takkan selesaikan apa

RASA BUAT ABANG II

ku teroka dua punca
namun tak membuah apa-apa
yang sana diam selamba
di sini pula seakan hilang punca
percaya diprasangka
apa sebenarnya
putih katalah warnanya
hitam janganlah berdiam saja
bisa jadi gila
jika tidak disuluh segala

ada gusar yang ku tak ketahui
derita jiwa mu melalui
segala lara mintalah jauhi
sementara kau dirahmati
aku keliru mengingat sendiri
adakah lorong yang tak ku lewati
demi mencari isi
menerang curiga di hati
agar nanti tak malu sendiri
kala tersilap menilai tragedi

buka hati mu wahai abang
aku tahu dunia kita terhalang
salah aku takkan hilang
takkan cukup doa sang siang
umur ku tak panjang
segan sudah meminta peluang
cukuplah berjuang seorang
sebelum aku pulang
benarkan aku mengimbang
golak rasa mu yang terumbang

puas cuba melupa
semuanya salah setia
memang percaya singkat usia
namun ikatan masih ada
tak tahu bagaimana
hendak aku jelaskan semua
walau aku derhaka
kisah ku pada mu takkan tercela
diri mu tak pernah silap apa
hanya aku yang mengada-ada

aku percaya pada sinar
rembulan dan mentari memancar
takkan terlindung dek awan berlayar
takkan tercecah kilat menyambar
buanglah rasa gusar
percayalah cinta itu besar
kaut pengaruh luas tersebar
ikhlas kita takkan tersasar
walau ditinggal sebentar
takkan lenyap rasa sebenar

aku tak minta menongkah bersama
ku mahu hanya pulangkan percaya
kita semua sama
kemaafan penentu mulia
jadilah rama-rama
nescaya dia masih cinta
sudah lumrah manusia alpa
tergoda pesona alam maya
kuatkan dasar lepaslah bisa
senyum mu yang ku damba

RUPANYA DIA JUGA BEGITU

mula ku fikir
apakah manusia ini betul
sejak diri ku membuatnya sugul
bertaut di ranting rapuh
di pondok ranap aku berteduh
mengharap dan terus mengharap
maaf darinya yang nyata berharga
buat memerdekakan jiwa lara
buat menyenangkan kalbu yang merana
dek kerana terlalu cinta
akan manusia ini

ku tahu hidupnya berliku
namun hidup ku juga begitu
walaupun aku masih hijau
tak bisa mengenal sinar dan silau
aku mungkin bodoh
tetapi bait kata ku bukan seloroh
bila ku kata cinta
aku maksudkannya
bila ku kata maaf
ku pinta diampun segala khilaf

tapi manusia ini diam
adakah dia ajam
nyata sekali tidak
kerna pantas dia bertindak
kala cinta hatinya murka
dia pula ditimpa bahana
sanggup bergadai nyawa
atas ikatan yang dijauhkan syurga

bila ku karang pilu di hati
dia turut mengikuti
takkan ku tuduh dia meniru
hanya Tuhan yang tahu
dia bebas berbuat apa
aku tiada kuasa menghalangnya
dia hak milik cinta hatinya
aku tak punya siapa

mungkin aku memaksa
tapi aku ada sebabnya
entah mengapa dia makin jauh
adakah percayanya jatuh
tak bisa bangun
walau tangis ku meruntun

aku biarkan manusia ini
bahagialah dia di dunianya sendiri
tanah berpijaknya sama
namun dia tinggi darjatnya
di sisi kesayangan, di sisi Tuhannya
aku hanyalah kayu neraka

diam saja penawar ku
setakat ini saja rintih ku
jauh dia mahu memandang
jiwa hina yang terhindar sayang
yang pernah membuatnya kecewa
entah bila dilepas derita
takkan sempat
hari ku semakin dekat
dia kan bernyawa
demi cinta hatinya
kan ku tunggu langkah kakinya
mengiringi ku di pusara

aku cuma boleh berharap
sementara jiwa ku ranap
takkan terbayar budi
takkan terkota janji
semuanya hanya mimpi
menyeksa hati
membunuh diri

SUMPAH, SHAH TAK INGAT!

baru dikemas semalam
gembira kepalang dalam diam
namanya akhirnya tertera
sebagai pencetus gerak kalamnya
baru teringat juga
sudah berjanji akan diteroka
nyata aku tak hampa
jujur nukilannya jelas di mata

leka aku melayar
ilham pena yang baru tersiar
terdetik satu perkara
yang dipendam lama
namun tak tercetus
tak pasti apa yang telah putus
kerja disudah
badan mula menyerah

nyaman elusan angin
menyejuk malam yang tak dingin
pena digerak seiring
habis biskut sepiring
bingkas dia menyambar alat
guna perhubungan jauh dierat
tertera satu pesanan
jiwa tak keruan

aduh, jahilnya aku
sudah diterang dulu
lalai meraja
munasabah dijaja
takkan tahu jika tak digera
takkan kisah jika tak dipinta
merombak yang asal
pada yang lebih masuk akal

maaflah kekanda
adinda nyata alpa
sekecil salah
mampu menaik bah
sehalus leka
mampu memutus rantai suasa
maaflah hukumlah
segala silap salah

terima kasih dititip
lega rasa terkelip
untungnya bersahabat
dapatlah gusar terubat
ingat-mengingati
pesan sang Asri
janji terpatri
takkan buat lagi

SUNTUK

tak terkepung yang disasar
padahal besarnya wajar
tak terkejar yang dilancar
walau jaraknya sifar
tak terbeli yang dibayar
kenapa putiknya tak mekar
tak terima yang diajar
apa yang sebenarnya bertukar

waktu terlalu suntuk
apatah lagi digoda mengantuk
tak habis-habis merajuk
tak pula dipujuk
musykil apa yang merasuk
jadi malas sebegitu teruk
hendak saja dihempuk
diterajang direnyuk-renyuk

hendak berehat tak terluang masa
hendak mengerah gagal bicara
ditolak tarik hilang istimewa
dibiar tersadai diri derita
balas kata jadi senjata
tak nak kalah menjuang rasa
kenapa diturut yang tertinta
kalau benang boleh diganti guna

masa membilang hayatnya
sempatkah sejahtera semua manusia
payah membangun yang terleka
sukar mengejut yang teruja
susah menyedar yang megah bangga
terkorban tenaga demi yang tiada
hilang dibawa gembira
yang samar asal-usulnya

hidup tinggal sedikit
tak mustahil terhenti tanpa sakit
punah makna tanpa perit
sudah termaktub walau menjerit
takkan berganti yang sudah tersabit
kuno lakunya membeza kulit
tak tersedar dirinya perajurit
mencari arah mendayung rakit

percaya bolehkah terima
kasih bolehkah dipindah nama
keliru dapatkah diolah cerita
peneman hidup di hari tua
tersambung lagikah saudara
terentap kasar kerana cinta
larang dibantah bagai menguasa dunia
tetap juga kerdil di mana-mana

TAK TERKATA

jujur itu amat mahal
takkan terbeli sepukal
takkan penuh pun setengah kapal
besar darjatnya ikut jengkal
ditelan pun berkepal-kepal
tak terserap dek akal
yang bijak tak terkawal
yang dungu terkial-kial

jujur itu penentu
penamat haru-biru
pemadam kisah lalu
pemisah kau dan aku
ramai yang tak malu
dicemar buruk laku
santun tak lagi perlu
terkinja macam kutu

jujur takkan lupa
sekali sudah terkena
teringat selama-lama
pedih jiwa merana
suka rasa berbunga
adil tak pernah bersuara
hanya yang tahu sesama mereka
benar mereka diraya
salah dipaling muka
jujur bawa ke syurga

TAK TERTAWAN

rambut sudah mula jarang
di kepala kelemumur bersarang
jerawat di muka tak pernah berkurang
penglihatan takkan terang
bulu di wajah terbiar bak lalang
nafas berbau bukan kepalang
gigi kuning memancar gemilang
senyum terhalang, bibir kering-kontang
pendengaran lama hilang

tubuhnya tak terjaga
tak pernah bersenam, tak bermaya
warna kulit tak sekata
daki di badan di sini sana
dari pinggul hingga ke dada
belakangnya berbintik segala
bulu meliar tak dirapinya
ketiak masam dari cuka
kelangkang tersergam peta dunia
otot yang kekar satu pun tak ada
perut buncit entah apa isinya
anu panjang tak seberapa
kuku kotor terlekat sisa

tapak kakinya merekah
kuku kaki terbelah
dipotong patah-patah
bau meloya merangsang muntah
hingga pengsan jadi tak betah

perasan dirinya tinggi kedudukan
tak terpandang pun darah bangsawan
rupa jijik mengalahkan cipan
mengada-ada minta dikasihkan
jalan berlenggang berangan peragawan
ditolak mendesak habis-habisan
ditolak lagi terus meroyan
percuma saja meletak kepercayaan
pekung orang dicanang-canang

wahai manusia
ini bukan rahsia
jauh sekali mengata
menabur benih nista
semuanya benar belaka
mengapa tak percaya
tunggu saja masanya
semua terhidang di depan mata
sampai tak terkata

THE POSSIBILITIES OF ENTAH III

entah pasti entah teragak
entah lancar entah berkahak
entah damai entah bertekak
entah tunggal entah jamak

entah lega entah semak
entah emas entah perak
entah kalam entah iqrak
entah baik entah bengkak

entah herdik entah bersorak
entah mentah entah masak
entah membatu entah melalak
entah tumpu entah lawak

entah gagal entah layak
entah liar entah jinak
entah syukur entah riak
entah dengar entah pekak

entah disimpan entah dicampak
entah terkunci entah terkuak
entah menjunam entah melonjak
entah tersorok entah nampak

THE POSSIBILITIES OF ENTAH IV

entah bergerak entah terletak
entah bisu entah berborak
entah tetap entah dirombak
entah tenang entah berombak

entah tanggal entah tercacak
entah kontang entah becak
entah menelan entah tersedak
entah rata entah berlopak

entah terhalang entah berhak
entah hindar entah digalak
entah kosong entah semak
entah dikacau entah dikocak

entah menggeleng entah hendak
entah lurus entah beronak
entah pegun entah berarak
entah putih entah bercorak

entah berfungsi entah rosak
entah pendam entah membuak
entah kawal entah berontak
entah bahagia entah retak

TITIK

cari titik lemah
bukan untuk membangkit ghairah
tapi yang meledak amarah
tumpaskan dia sehingga menyerah
supaya dia tak lupa sejarah
bukan hanya dia yang bersalah
tetapi menyebar fitnah
punca hubungan pecah belah

kesan titik tumpu
biarkan dia merapu
sesungguhnya itu perlu
jadikan fikirnya bercelaru
kuncikan segala pintu
biar dia disimbah malu
agar dia tersandar lesu
membayar hutang yang menunggu

intai titik tolak
jangan tegah dia tersedak
perhatikan segala tindak
hasut dia terus mendesak
meratap bagai hilang anak
tak betah diam terus tembak
agar isi perutnya berselerak
otaknya berbusa bagai dikocak

matikan titik hidup
sumbat biar tertutup
tebat bunyi yang sayup
sampai nyawa berhenti berdegup
keringkan jasadnya hingga rangup
jangan diletak di bawah redup
hingga berkecai tak perlu telangkup
takkan terpampang di daun terup

TUNGGU

sabar dulu
menanti jawapannya
dia keliru
menahan atau melepas kata putusnya
aku tahu
tak banyak masa
harinya kan tentu
pasti dia berkata

dia tak pernah cemburu
pintu akalnya terbuka selalu
segala ditafsir dahulu
sebelum dia beritahu

tiada apa yang dikaji
cuma dia tak gemar berjanji
takut nanti mengundang benci
terus diterima berbakul caci
bahawa dia lupa diri
hanya mementing si jantung hati

tunggu
mulutnya pasti terbuka
bertemu
mata ku dam matanya berbicara
terbuku
keluarkan semuanya
perlu
maklumi dia

terkadang terfikir juga
mengapa terlalu lama
adakah rumit segala
meluah bahasa jujurnya

siapa aku untuk menilai
maruah sendiri hampir tergadai
lemas dihanyut badai
walau bermain di gigi sungai

berapa lama
terserah dia
sempatkah diterima
takkan tahu bila
tunggu saja
sabar tunjang segala
kalau tiada apa
pergi saja

20.9.08

UH, WHAT?

sitting on the floor
looking at the door
waiting for the familiar footsteps
tapping along harmoniously in laps

he knew he was outside
from the balcony he'd seen his ride
but why wasn't he coming in
instead of breaths smelling of gin

he knocked on the door hastily
why the rush, who knew really
he walked inside, avoiding eye contact
hoping that his anger would retract

he threw himself on the lounge
only to make a thudding sound
he ran to his aid, out of loyalty
nothing was said, that's love actually

he placed his head onto his lap
stroking the jet black hair after the mishap
their eyes met, they've won their bet
a passionate night was set straight

exchanging kisses while they embraced
their eyes met again, their hearts raced
they savoured the moment, really intimately
that could easily be stolen immediately

WHAT ABOUT THE STORM?

ku toleh ke belakang
tanah ku gersang
tiada lagi seri
penuh mimpi ngeri
leburnya jelas terlihat
takkan lagi ku lawat
biarlah ia tinggal
khayal tanpa bekal

ku toleh ke belakang
puas mereka goncang
tiada satupun yang berjatuhan
pohon kenikmatan tak berkenan
menggugurkan buah keabadian
yang bisa zahirkan keenakan
merangsang kemungkaran

ku toleh ke belakang
ranap istana terawang
awan tak lagi melapik
bayu semakin serik
rintik hujan bertukar ganas
angkasa sudah panas
tak tahan menafi
maksiat berselindung indah mimpi

ku toleh ke belakang
cahaya petir terang-benderang
mentari ketakutan
rembulan berderaian
aku memandang kesal
ia lenyap mendahului ajal
jasadnya rentung hangus
tiada lagi rengus

ku toleh ke belakang
ribut tak mahu pulang
tak puas membinasa
selagi dosa ada
ku kata pada ribut
nyawa aku tidakkah direnggut
dia memandang hairan
semuanya aturan Tuhan

ku toleh ke belakang
semua milik ku hilang
cinta dan kehidupan
ditelan kasar sang taufan
bagaimana dengan ribut
sudah terisikah perut
menelan kesesatan
silam ku kemusnahan

YET ANOTHER SILLY POEM

i can no longer gaze to place
my feelings in such a simple phrase
for dear life has gotten so cruel
it glitters deceitfully like jewels

how can i cleverly hide
all my sadness that breeds inside
no amount of screens would suffice
and they for sure wouldn't deny this

i take my time to fully understand
ignoring the rapid fall of sands
no hourglass would best replace
the hours that have gone to waste

i always believe that humans are equal
but some lucky ones get to shoot their sequels
that further stamp their lasting power
and sometimes showcase its lacklustre

i try to see things in a different light
only to end up in meaningless fights
what shame would be without humiliation
what war would be without retaliation

i want to shut up but i just can't
injustice will make me endlessly rant
i no longer care what he wants to say
he is free to have his way

LEMPAR

bukan kata
bukan nama
bukan harta
tak pernah ku pinta

hanya jujur
percaya yang gugur
kerna terlanjur
maaf dihulur

biar kejam
jangan pinjam
biar masam
jangan dendam

paling muka
tak mahu pandang
tidak apa
jalan masih panjang

LEWAT

gugur titisan kesayuan
melihat dia dalam pertarungan
diamnya tak tertafsir
mungkin ini titik akhir
tertolak jauh ke masa silam
saat cemburu mencengkam
megah aku memapar kuasa
tanpa sedar terbeban dia

mesra sudah lama tiada
silam ku buang sejauhnya
namun bila ku angkat wajah
bayang yang pergi kasar menyergah
nyawanya ku tamatkan
dia berpaling penuh kebencian
terbunuh cinta hatinya
punca dia sengsara

ingin aku lari tapi tak bisa
nafsu menguasa ku hilang punca
sangka ku dia akan melupa
kenyataan menampar dia terkena
mahu saja ku paling muka
sebak menghunus melihat dia
tangannya ku genggam sentiasa
takkan terdetik meninggal dia

puas ku rawat, tiada ubat
di mata dia aku pengkhianat
aku takut aku terlewat
menyelamat dirinya tanpa disekat
semua berlalu begitu cepat
sehela nafas kebebasan didapat
pergi dia tanpa wasiat
tangannya masih ku genggam erat

dia terlena dalam peraduan
sebelum bangkit di alam kemudian
tangis ku membasahi cadar
sekujur tubuhnya ku tutup gebar
bersih wajahnya mengujakan
berlalu rohnya menyakitkan
sugul aku di sebelahnya
menanti doktor tiba...

LIHAT DI DEPAN MU

subuh mengetuk pintu
terkuak naskhah diari mu
hari yang ditunggu
tiba awal tepati waktu
usah dihasut keliru
inilah harinya yang satu
penamat segala sayu
khatam segala pilu
termasuk diri ku

lihat di depan mu
tiada warna kelabu
cerah langit yang membiru
bertukar tangan subuh yang syahdu
riang kicau burung berlagu
iramanya lenyapkan resah mu
bebaskan dari kaku
lepaskan dari terbuku
usul pada bayu
tiupkan rasa cinta mu

senyumnya menguntum sejak dulu
sangsinya telah lama beradu
ia pergi tak berbau
bertelanjang dia berselimut baldu
usah terkedu
larilah ke arah itu
ke tempat jantung hati mu bersatu
renanglah lautan yang tak pernah lesu
pasti itu membantu
kalian lama tak bertemu

luahkan segala rindu
tanggalkan segala baju
rangkul tubuhnya semahu hati mu
kucup bibirnya jangan ragu
ku pasti dia juga mahu
bahasa tubuhnya bersetuju
melayan satu-satunya tamu
yang lama bertakhta di kalbu

lihat di depan mu
tiada aku di situ
punah dimakan nafsu
terkorban dihakis cemburu
terbunuh kerana celaru

MAHU AKU SUJUD SEMBAH?

diri mu jauh
ikatan kian rapuh
kata putus mu tetap ampuh
percaya tak lagi seluruh
bagai menyaksi dedaun luruh
dipegang rapuh dibasuh luluh
gugur dipijak tak sempat mengaduh
tiada apa yang bersisa kukuh

dicapai tak sampai
difikir cara pelbagai
masih juga tak tergapai
koyak diguris dawai
dipetik lemah longlai
direntap terpisah tangkai
dipegang urat terungkai
akhirnya letih tersadai

mahu aku sujud sembah
aku tahu diri ku bersalah
bukan bermakna aku kalah
layak dituduh disumpah seranah
demi cinta yang selalu berbalah
hati ku mungkin bernanah
namun bukan aku taburkan fitnah
tak pernah kepedasan dek cili merah

terserah diri mu
aku mungkin menunggu
berapa lama aku tak tahu
arus rasa mu tak pernah tentu
kejap pasti kejap keliru
kejap merah kejap biru
bersungguh menyorok warna kelabu
dari pandangan tajam kekasih mu

MATT

mulanya bual mesra
berbalas kata suka
berhubung sentiasa
dipanggil dan diutus berita
hari berlalu seperti biasa
tak semena dia mencuba
mengundang untuk bersua muka
aku setuju saja
tiada salahnya berjumpa
bukannya segera bercengkerama

tika melihat dia
terpancar berjuta rasa
wajahnya menyenangkan jiwa
binanya merangsang asmara
tuturnya selamba bersahaja
suaranya halwa telinga
sentuhannya menaikkan bulu roma
dirinya yang ku cinta
mulanya menggamit curiga
gusar di jiwa masih teraba

aku dan dia berbicara
berkongsi suka duka
aku tak mahu dia merana
begitu jua dia
aku jelaskan gundah melanda
yang tak bisa terzahir di mata
dia juga sama
tak mahu prasangka menerpa
lalu tercapai kata
asmara gaya terbuka

dia bebas memilih siapa
tak ku halang dia berjumpa
idaman hati jika suratan mengiya
aku juga pinta yang sama
tak guna mengekang rasa
jikalau tiada jodoh tertinta
cinta tetap cinta
sayang tetap bertakhta
cuma dipinta ruang bernyawa
menilai pilihan yang ada

dirinya mirip seseorang
yang jua ku amat sayang
sangka juga jikalau bayang
resah malam dan siang
mujur dia berterus-terang
siapa dia untuk menghalang
bukan kita yang merancang
dari Dia semuanya datang
jika harinya bertandang
ku bebaskan dia pulang

walau terpisah dek lautan
dia sentiasa di bayangan
khabar tetap berhantaran
suara jelas kedengaran
hati sentiasa bertautan
sayang dia tanpa sempadan
cinta ku untuknya bukan halangan
biar masa menentukan
sejauh mana perjalanan
semulia mana pengorbanan...

MY WORST POEM YET

payah membuang rasa
wajahnya sering menjelma
apa harus ku lakukan
ngiang suaranya tak tertahan
dia nyata bijak menggoda
tulus kata jadi senjata
bila sezarah sayang menekan
dia dibelasah ketakutan

sukar benar melepaskannya
bayang tak lari ke mana
rintih tak didengar
percaya sudah keluar
tiada lagi yang bersisa
hanya ingatan lara
mengundang berjuta suram
memamah menyeksa dalam

biarlah ku bawa diri
tiada siapa mengerti
hanya saran mampu dilayar
buat pengisi supaya belajar
tiada kasih kan sudi
tiada sayang kan peduli
hidup dipagar serpih kaca
parutnya berbekas seluruh semesta

PALING

sedak
asyik disebut
kahak
usia menyahut
tindak
tiada bersambut
campak
segenap sudut

ikut
buta tuli
kusut
tak dikaji
renggut
tak puas hati
hanyut
rasa digari

dia
leka perhati
sangka
adanya peduli
punca
bersembunyi
mata
pejam lagi

simbah
salah lalu
arah
kembali satu
ubah
niat tentu
falah
terangkan waktu

PENCURI HATI II

undang dia masuk
dari jauh terlihat susuk
ketara jauh di ufuk
datang tiada hiruk-pikuk

sinar wajah menerang
gemar hati bukan kepalang
bagai bulan dipagar bintang
dalam ramai ada seorang

jelas hujung butir
tutur kata molek terukir
dari hati terzahir di bibir
memahat janji pasti tak mungkir

senyum demam kebah
baris gigi terpapar indah
dibingkai bibir bak delima merekah
bukti nyata kala bermadah

segak sang perwira
sihat badan diwakil sasa
segar minda terang purnama
cergas batin hangat terasa

pandang mata bersinar
galak hitam hati berdebar
jauh segala mungkar
tatap jangan sebentar

erat genggam tangan
tanda tak mahu lepaskan
gerak tubuh tergambar kerinduan
terbayang rela keghairahan

LAWAK

takkan habis ketawa
kala mendengar cerita
orang yang bodoh kerana cinta
tak dilayan masih meminta
tak pernah diikat jiwa meronta
tak pernah disayang menuntut segala

adakah dia buta
tak terpandang di depan dia
lelaki itu sudah dipunya
belahan jiwanya yang sama tara

tak bisakah dia berkata
bahawa dirinya setia
sanggup meriba derita
menunggu yang bukan miliknya

sudahkah dia hilang rasa
sudah dicerca sedemikian rupa
masih berkehendak yang takkan ada
bagai dirompak akal fikirnya

adakah dia pekak telinga
tak dengar tiada nada suka
menolak sampai bila-bila
kasih yang dicuriga

binasakah deria hidunya
tak tertangkap bauan berganda
angkuh dia menolak si hina
miskin berhutang denganNya

takkan habis cerita
kala leka ketawa
lawaknya kisah menghibur semua
yang melayan tanpa dipinta
yang diikat rontanya tiada
yang disayang tak minta apa

GOLAK PERANG DALAM

pandang ke dinding tembus
sasar ke hati terhunus
jiwa gelora dibawa arus
ronta derita dibayang kabus
basah rasa dijirus
kontang lara dikejam rakus
berteduh di pohon tirus
semua ikat terputus

maya hilang punca
ranap belas didera
putus nyawa segala
mentari jadi curiga
mengundur sinarnya
bulan tiada cahaya
awan tebal merimba
angin dipaksa berlumba

dijunjung tanah lumpur
pantas ia tersungkur
tak terbayar jujur
hutang badan sekujur
luas ia menganjur
kaku tapi lebur
darah kotor menyembur
sangsi makin bersulur

wangi udara bersemarak
dilagu puji suara serak
diangkat diri gagal berpijak
disuluh terang hilang jejak
didaki tinggi tiada puncak
walhal tiada apa dirombak
pintu asing terkuak
telus atau tidak

sesal dalam kebenaran
mana dicari pengertian
gigih tak dilayan
bantuan didapat kesamaran
hilang dalam pencarian
lebur dalam penantian
teraba dalam angan
disentuh tiada perasaan

lontar lagi pandangan ke dinding
tiada apa yang disaring
terngiang-ngiang suara asing
diamati tak pula nyaring
dalam gelap bertatih ke tebing
apa dinanti fajar menyinsing
rasa masih berbaur runsing
jalan kembali semakin ramping

HANTU

dia takut
bukan karut
silam menghantu
gundah membantu
silap terpahat
bukan terniat
pulang dia
sesal menerpa

akal panjang
tidak terpegang
hasut bergema
melenyap warasnya
selisih dipentas
keduanya tewas
satu mati
makin menyepi

ambil ajar
bisa membayar
salah dibuat
terima taubat
kesal bersarang
menguasa ruang
tak guna menangis
selamanya terguris

datang menghantu
kisah dahulu
renung hikmah
sedar membuah
jangan diingat
takkan dapat
menghidup semula
tak mungkin sama

lihat mampu mu
jika menumpu
kecewa berlalu
bekasnya di situ
sejahtera dia
itu dipinta
teruslah kelana
mencari Dia

apa didapat
bukan mukjizat
ada sebab
ternukil di kitab
buang yang usang
simpan yang terang
buka mata
kan senyum dia...

KU HARAP

renung di luar jendela
tembus pandangan ke gunung di sana
mencari erti gusar berkabus
tiada satupun muka yang mulus
bisa menzahir benar
dapat menyata yang wajar

lenyap
satu bersatu diserang hendap
pilu tak tergambarkan
gundah tak kesudahan
impian ku di awangan
tertahan kerana sesalan
tak bisa lepaskan
luluh hati merelakan
cinta hati bahagia di kejauhan

pasrah
adakah akan didapat
sempatkah masa diputar
membetul yang tersasar
menebat yang tercalar
mengilat yang telah pudar

ku harap
tiada lagi duka
saat dunia sana melambai mesra
api atau cahaya
seksa atau bahagia
aku menentunya
namun entah apa
kasadnya hidup bernyawa
jika yang dicinta tak membalas
yang mencinta terlepas

biar tinggal tanda tanya
lelah aku memikirnya
terpulang pada mereka
aku bukan yang terbaik
punya amal tak pernah naik
akan terbuahkah serik?

jendela ku tutup rapat
tiada apa yang bisa membuat
membahagia hati yang berkecai
menyenang jiwa yang lama terkulai
biarlah
pergi ku tak dikhabarkan
kerna tiada siapa kan mengendahkan
taksub kerja dunia
jiwa mengasih dilupa
bukan alpa
tapi sengaja

DILEMA

berarak lampau lenyap
bersorak tapi mengapa senyap
mendesak dikurnia sayap
berganjak tapi kejap

bayang degil pulang
paksa duka lara
satukata tumpu
lupakan akan terkesan

peduli tak bertandang
iri rebut peluang
sembunyi dendam berbahang
benci hapus sayang

lupa hanya hasrat
tiada bukti tersurat
sentosa - akankah sempat
cuba ditutup rapat

LALU TIADA SUARA

hadir dia
tak dipanggil
tak pernah kenal sejak kecil
pertemuan di maya pada
dia menyapa
menyurat kata membina

sejak itu
hadir dia rutin biasa
senang aku menerima
terkadang hairan juga
apa punca yang buatnya suka
gemar bertandang seikhlas hatinya
membaca dan menyuara fikirnya

datang serasi
membuah persahabatan
memeluk erat ikatan
seakrab bersua roh dengan badan
walau hanya suara kedengaran
pesan diutus tanda berhubungan

kisah dikongsi
suka dicanang girang
duka ditanggung seorang
dia tak betah menyusah
menyebab aku keluh kesah

dalam keeratan
timbul rasa
mengeliru jiwa
menjurang setia
membangkit lara
membunuh percaya

kecamuk
iri diangkat Tuhan
kecewa kesal membina batasan
jauh sudah perasaan
walau sekadar persaudaraan

semuanya kosong
tiada lagi dia datang
walau dinanti pagi dan petang
digusar sakit ku melarat
dikasar bagai jari dikerat
diam menanggung seksa
lantang mengundang bahana
hancur segala-gala

tak tahu
layakkah ditunggu
akan terbuang waktu
terubatkah kalbu
yang sebaiknya bisu

hilang waras
sudah tertewas
nikmat terlepas
rasa terjejas
jasad terhempas
menanti hari bebas

JENGAH

apa di luar sana
adakah untuk engkau
di balik bukit-bukau
mungkinkah untuk aku
yang dibinasakan waktu
aku tahu ada sesuatu
untuk kita ambil tahu
mewarna dunia kelabu
mengibas lapisan debu

andai tiada apa
adakah kita alpa
mungkinkah sesiapa lupa
kita jua wujud di dunia
mengajar untuk membina
bukan membetul untuk nama
agar harum sentiasa
buat menyembunyi cela
didesak tamak nafsunya

pandang jangan kosong
sangsi jangan dijunjung
putus jangan sambung
jika terbau bohong
tersorok di batu lesung
pinta jangan sekat
kurang bukan ralat
sengaja dilambat
nyata menguji kuat

cari apa didamba
walau dihanyut gelora
jangan kisah mereka
biarlah disulam hina
janji kita bersedia
meredah susah luka
mengecap senang suka
bahagia bernyawa
kesal menutup mata

JAHAT

lihat gerak sepatu
ke mana hendak dituju
tak terluang waktu
menenang yang perlu
menyaksi langit biru
dilukis angin bayu
cuba mengubah sayu
menolak kasar awan kelabu

pandang lagi ke atas
kepala diturun pantas
maksud tidak jelas
walau ringan tergalas
leka membongkar asas
peluang lama lepas
takkan dirayu belas
walau layar ditetas

bosan melayan dua
mahu berhidang segala
ikut semua pinta
turut semua cela
ku harap kekal sesatnya
takkan pulang ke syurga
mencari teraba-raba
turutlah lagi cintanya

musibah memukul badan
lara tak tertahan
dia mudah persoalkan
apa sebab berebutan
telah ku titip jawapan
takkan wujud pertimbangan
dua merpati jantan
moga dijauh keinsafanJAHAT

END OF STORY

store all your stories
wrap all your memories
like i did mine
drain out all your sorrows
than standing by the window
you'll be fine

pick up the pieces
of shattered promises
don't ever look back
breathe yourself a new life
show him that you’ll survive
you'll never lose track

don't look down
for there's no sound
just your silly imagination
there's nothing up
if the storm's in the cup
save your anticipation

he's lackadaisical
you're nowhere equal
it won't work out
you're boiling
he's far from simmering
scream it out loud

break those walls
make sure he falls
down on your feet
punch him hard
shove him the card
revenge is sweet

let go the missing
i see no point waiting
for a withered tree
you deserve better
more than ever
walk away and be free

16.9.08

BARU KAU TAHU DIA BERHARGA!

di tengah pesta
mata ku terpegun melihat dia
yakin gayanya menawan semua
tak duga aku terpesona
senyumnya mendebar si pemangsa
aduh, cairnya rasa
degup jantung menyata suka
segera dipanah asmara
masing-masing bertukar kata
sambil mata terpukau memandangnya

menyaksi dari atas
seraut wajah seputih kertas
gusar jiwanya tak tergalas
hasut cemburu lepas bebas
pantas dia melepas gelas
jatuh berkecai di ambal kapas
menuruni tangga penuh cemas
hujung bajunya terkibas-kibas

dicari cinta hatinya
khuatir dia digoda
dipusing dewan nyata tiada
kelibat mangsa dan pemangsa
celaka, jujur sumpahnya
di mana dia
segenap ruang diteroka
masih tiada juga
bimbang menerpa
risau sayangnya ditimpa bahaya

dengan pantas dia meluru
berbekal pistol berpeluru, pisau kecil di sepatu
ke arah datangnya cahaya itu
di mana asalnya aroma dihidu
dapur terkuak pintu
ketiga-tiga terkedu, terpaku
untung pistol tidak diacu di dagu
pasti mengundang yang haru-biru
si pemangsa memegang sudu dan garpu
teman lelakinya pula menjilat jari hantu
merasa masakan resipi baru

aduh, malunya dia
aku masuk mencari punca
sangka ku benar belaka
dia cemburu buta
takut jantung hatinya dianiaya
dek rupanya yang tegap sasa
oleh pemangsa yang sama tara
segak rapi melemah sukma

padan mukanya
terlalu ikutkan rasa
curiga memakan akal warasnya
aku tergelak sendiri
geli hati
menyaksi sebuah komedi

BALAS

hairan
mengapa aku begitu telus
rasa diluah mengalir bak arus

bukan niat mahu menurun darjat
kadangkala ada yang nyata tersurat
tak perlu dibuat-buat
atas nama mengekal martabat

balas kata selalunya kecundang
malu sendiri bukan kepalang
baik diam memanjang
dari terus berperang

hairan
kenapa kata ku murah
mengapa terlalu mudah
membiar diri ku kalah

entah
bagaimana harus ku ubah
peribadi sudah lumrah
bukan sengaja menjatuh maruah
tapi terbeban masalah

diam
itu yang terbaik
tak perlu jatuh dakwat setitik
takkan gugur daun kalau tak dipetik
mungkin pelik
pasti akan terdetik
balas kata menimbul serik

BAGUS, BUAT LAGI!

hindar semua cara
asal dapat mengelak dia
tunggu dia mencari punca
barulah engkau selongkar semua
sebab musabab menjauhi dia
biar puas hati menyinga
janji dia tahu silapnya
pastikan jiwa dia merana

hindar semua cara
untuk dia mendekati mu
seribu alasan jadi senjata
buatkan dia teruk tersipu
lagukan kisah cinta
nescaya dia diperang cemburu
deritakan dia dengan aksara
yang mengeja hampa hati mu

hindar semua cara
tolak dia sehingga kalah
sudah berlinang air mata
tiupkan rasa bersalah
sekat segala peluangnya bicara
hingga dia rebah menyembah
dia pasti meraung meronta
tikam dirinya sampai kering darah

hindar semua cara
agar cinta mu terselamat
pulau dia semampu tenaga
untuk membuang sial terlekat
jadikan dia gila
siratkan segala yang tersurat
hapuskan segala ada
barulah engkau boleh berehat

APA

tak terjumpa simpang jalannya
di mana harus ku tanya
wajah asing senyum mencuka
bagai dirampas harta dunianya

bergerak ke sebelah sana
tiada pembayang jua
semuanya tampak sama
cuma sekitarnya berbeza

aku tak mahu kecundang
walau maut ku hantar pulang
mengapa sukar kau beri peluang
kalau tiada yang menghalang

gila aku kalau kau tolak
maruah bagai dihenyak
walau rumah mu tak pernah dijejak
bukan maknanya aku mengelak

kasih mu penentu hidup mati
seksa abadi atau damai hakiki
lama ku redah lembah keji
ingatan pada mu tak gerak seinci

apa kau mahu dari ku
jujur pada mu walau dipalu
membela mu walau dimalu
mengasihi mu walau ditembus peluru

mengapa diam saja
bagai ia gaya semasa
mulut mu berat memang tak kena
padahal jasad mu penuh cinta

tunjuklah petanda
nyatakan sebabnya
diam mu kerana apa
ada rantainya dengan percaya

apa untungnya semua
melainkan membuat ku sengsara
mungkin aku dihindar kasihnya
mengapa ku tak terima

tanya pada diri
apa hala tuju di bumi
jumpakah yang dicari-cari
atau tertimbus dalam iri

AGAK

leka mengarang
rasa bersarang
olah jiwa dibentang
buat dihidang

nukilan disiar
segala keluar
soal saran menjalar
senang sukar

apa rasa
celik atau buta
terkadang jaya
jarang binasa

apa diluah
layu atau berbuah
simpati disembah
benar disanggah

kecamuk fikir
tak terzahir
ini yang terukir
itu yang mungkir

apa peduli
agak memuji
salah sendiri
bawa ke mati

DALAM MATA

dalam mata
tersurat segala
terlukis hiba
jiwa terdera
siapa aniaya
kejam segala
melenyap gembira
tertahan rasa

dalam mata
tercalit kecewa
pada percaya
dikhianat tak terbela
adil putusnya
berontak tak guna
tak nampak di dunia
jelas di sana

dalam mata
tergambar prasangka
bukan membeza
hilang bicara
apa ada
pada cerita
di hati tertera
yang benar belaka

dalam mata
terbazir masa
terkurang pula
ramai meminta
bukan setia
kesempatan didamba
habis diguna
disepah merata

dalam mata
tersimpan rahsia
yang bisa membuka
hanya pencinta
takkan disia
amanah dibawa
janji yang terima
tahu maksud sebenarnya