12.10.08

TERTUNDA LAGI

mengapa harus mungkir
aku pasti bukan terakhir
gerak mu ku baca
tak tertinta hilang punca
apa ragu mu sebenarnya
sampai mengelak segala
jangan ditarik tabir
berkelana lagak musafir

wahyu apa ditunggu
apa lagi alasan mu
cinta makin pudar
aku percaya engkau sedar
semua harapan telah tercemar
hanya menunggu masa keluar
bukan jujur mu ku buru
hanya kata mu ku ragu

aku khuatir takkan sempat
tak tahu bila kan putus nikmat
pulang ku bertarung nyawa
untuk kembali seperti biasa
tiada sakit tiada duka
cuba menyingkir kisah lama
kecewa takkan terubat
walau hayatnya singkat

TAKKAN SAMA

semua tak sama
takkan pernah sama
nafasnya segar menyapa
gerak jemarinya melemas asmara

semua tak sama
takkan pernah sama
tak berani menduga
lancar gerak langkahnya

semua tak sama
takkan pernah sama
sentuhannya membuka mata
terkuak sejuta indera

semua tak sama
takkan pernah sama
kucupnya mesra
tenggelam dalam arus rasa

semua tak sama
takkan pernah sama
dahagakan dakapannya
walau baru bersua

semua tak sama
takkan pernah sama
dia yang ku percaya
memusnah akal yang curiga

TAKKAN DITANGIS

sabar ku terhakis
tak daya menangkis
prasangka yang menikam
membakar dalam sekam
andai ku diam
dapatkah dicari tenteram
takkan ditangis
percaya ku muflis

janji demi janji
bagai menghidup api
apa yang kau mahu
pasti atau keliru
betulkah arah tuju
atau hanya membuang waktu
ku tahu takkan ditepati
macam kau pernah peduli

masa bergerak cepat
sempat atau terlewat
peluang tak pernah dicatu
pililah yang diburu
jangan buat ku tertunggu
bukan batu bukan peluru
takkan merasa nikmat
janji telah dikhianat

SEMENTARAA

sementara
cuma sementara
takkan dirindui
takkan dicari

pergi ku bersebab
alasannya tak perlu dijawab
aku perlu masa
aku perlu sentosa
aku perlu bertanya
mana letak aku sebenarnya

sementara
cuma sementara
jangan dicari
jangan diragui

pergi duka
pergi curiga
pergi saja

SELEPAS ITU, APA?

mereka berbisik
semacam ada mistik
padahal yang jadi
bukan riwayat sufi
entah apa kehendak
melontar soalan rawak
jawabnya ringkas
tak tinggal bekas

apa yang pelik
semua hendak dikritik
salahkah akrab
perlukah bersebab
segala rasa
bukan empunya mereka
pecahkan sampai bosan
takkan jumpa perolehan

segala perlakuan
disoal berpanjangan
sanggup mengatur mesyuarat
geram jari dikerat
selepas itu apa
penat menyebar berita
pulangkah modal air liur
atau dibuai takbur

takkan mahu berhenti
selagi tak jumpa yang dicari
orang lain sudah melupa
hanya mereka yang tak jaga
entah apa mendorong
mampukah menerang lorong
biar mereka mengharap
menanti penuh lahap

SEBELUM LENA III

basah masih terasa
di leher, di dada, di paha
jemarinya menjelajah puas
perjalanannya masih berbekas
meronta merintih dirangsang
tak sesaat dibiar terbuang
ruang diisi penuh
nikmat bermandi peluh

aroma tubuhnya menyesat waras
mainan lidahnya ternyata keras
disinggah setiap lekuk
sedapnya bagai dirasuk
beratnya disokong perlahan
siapa perlukan kemasyhuran
tak dibangga darah bangsawan
tak dimegah darah seniman

mata bertentang mata
kucup berkongsi rasa
pahit manis ditelan
denyut gerak ditahan
rangkulan takkan dilepas
selagi terdaya membalas
aman rasa di sampingnya
duduk di hujung dunia

RUMAH LAMA

jarang bertukar warna
jika ada sesekali cuma
pernah ada taman di depan
sarat ditanam pelbagai tumbuhan
semuanya tinggi merimbun
tetapi kemas tersusun
dua tingkat tingginya
memayungi sepuluh kepala

asal pintunya di tengah
dua dekad baru berubah
tingkapnya kekal sama
laman di depan sudah dirata
balai tetamu luas membuka
sepertiganya kamar tetapi dah tiada
warna dinding jarang ditukar
janji ruang nampak besar

tengah rumah asalnya bilik
paling besar latar menarik
kini menjadi ruang santapan
tempat syura semua hidangan
dapurnya mengambil tempat
bilik mandi berjubin biru berkilat
dapur lama bertukar wajah
menjadi kamar pembantu rumah

laman belakang juga dirata
bilik mandi di situ terbina
tinggi melangit si pohon mempelam
hanya akarnya kini tersergam
kini laman sisi yang tinggal
tanah persemadian kucing-kucing yang meninggal
sengaja dibiar menghijau rumah
kala pesta didirikan khemah

aras bawah dirubah wajah
aras atas tak pernah berubah
dua bilik kekal di situ
salah satunya menjadi milik ku
kamar di sebelah kan dihias indah
kala ada saudara ku yang bernikah
tingkat atas berlantai kayu
penuh nostalgia merentas waktu

rumah lama takkan dilupa
tempat hidup mati di dunia
tiga dekad berdiri kukuh
takkan ku rela ia diruntuh
tiga kematian, tiga perkahwinan
biarlah ia sarat dengan kenangan
walau tak setara pangkat pertuanan
aku hidup penuh kesederhanaan

satu dua dua empat
takkan rela beralih tempat
walau ada rumah yang baru
di sini jua tempat ku
perlahan ia akan kosong
lumrah hidup aku tak bohong
pusaka tinggalan ayahanda
hasil penat lelahnya bekerja

PERLUKAH KASAR

wahai teman
kawal amarah mu
salahkah dia rindu
sabar dia mengira waktu
teruja dia hendak bertemu
cinta hatinya yang satu

wahai teman
apa didapat tak pasti selamat
bila jiwa sudah terikat
bila utama berselisih tingkat
mungkin tak lagi larat
ditikam rotan berkerat

wahai teman
rajuknya ada makna
pernahkah dia memaksa
menghasut mengerja dosa
aku tahu diri mu rela
aku yakin dia juga

wahai teman
berdiam itu rahmat
muhasabah itu berkat
kembalikan asmara yang tersejat
berpada-pada mengelak sebat
semoga luka terubat

wahai teman
bukan maksud ku mencampur
bait kata ini jujur
laku ku mungkin terlanjur
silalah kalau mahu diukur
tak salah ku menegur

PASTI BERSISA

tak lagi peduli
sesingkat masa mengenali
segalanya berputik tanpa sedar
berbekal perkasa setangkai mawar
berkali kelopaknya gugur
dakwat basah tak sempat dijemur
punah segala rasa
terpesong arah pena
pasti bersisa...

entah apa yang dicari
sudah lama tidak suci
lebih dua dekad bermimpi
belum boleh lagi berdikari
tak pernah dia mengharga
getar cinta yang meliputinya
yakin menekan pendirian
tak pernahkah bosan
pasti bersisa...

dasar jiwa mengintai bahagia
dianugerah amanah mencorak warna
mahu dipuas segala indera
sebelum pulang ke fitrahnya
bisakah rasa ditinggal kosong
kebenaran takkan bohong
tiada benang bersambung
hanya pingat digantung
pasti bersisa...

kelibat tiga manusia
menerawang mencari punca
akankah ketemu
milik hati yang satu
hari belakang kemas disimpan
bukan kenangan tapi sempadan
akan ditunai yang dicita
tapi sampai bila
pasti bersisa...

MASIHKAH

ingin aku jengah
rasa membantah
keliru menyentap
pertimbangan tertiarap
masihkah hilang daya
atau sudah sempurna

ikatan mengimbang
ihsan terpalang
ragu membuak
kejam memijak
masihkah disinggah rasa
atau dimamah bala

sudah dilupa
ditukar cerita
namun tak pernah
benci membuah
masihkah bernyawa
atau pergi selama-lama

tak lagi dicampur
biarkan berbaur
tuju hidup berbeza
hanya pegangan yang sama
masihkah dia saudara
atau hanya teman biasa

LUAR BATASAN

luas pandangan mata rabun
namun hijab masih terkunci
besar cakapnya bertahun-tahun
tindaknya masih begini
hairan aneh pelik terpegun
adakah terhakis erti
modalnya sudah lama turun
yang tinggal telah mati

dia tak pernah mengikat
fitrahnya mengambil peduli
bunting kasihnya semakin sarat
tak tahu ke mana kembali
mujur ada yang meluat
jujur meluah rasa hati
sungguh bukan dibuat-buat
sangkakan diamnya menyenangi

nyata tersalah tafsir
tiada lain hanya maaf
kesal masa mu habis terbazir
menduga jawab berkali tawaf
jangan lagi menyesak fikir
dia akan insaf
kasih ini tetap mengalir
semoga tak jadi khilaf

LA LA LA...

aduh bosan
jenuh menyelak nota
buku-buku berbukit tingginya
rela tak rela
diredah selagi daya

pandangan samar
abjad dah tak kenal
apalah benda yang ku hafal
sudah lama bebal
tak mahu lagi kesal

bukan perlumbaan
bukan ku kejar kemasyhuran
ilmu jadi pertaruhan
dalam dunia tiada batasan
tak mahu lagi kekalahan

lihatlah nanti
pasti ku cuba sebaik mungkin
akan ku jawab dengan yakin
walau dewan dilanda angin
kertas berterbangan aku tak dingin

KECAMUK III

harus lagi dituju pandangan
dikurung sangkar maya
dirantai bak hamba buangan
bayu makin bisu
kata indah semakin pudar
makin sakit diracun rindu
alam persada bergegar
hijab terhalang menyaksi kehancuran
gegas ke istana pagar berkunci
menara miliknya berselubung kesucian
maha berharga tak upaya dekati
terik panas membakar tekak
laut kontang dirajuk hujan
namun jiwanya habis becak
menilai bicara sarat perincian
lara dilontar jauh-jauh
pasti bersisa jiwa yang rapuh
sampai bila tak pasti utuh
entah sempat mengekor subuh
sakit rasa disimpan seorang
sekecil khilaf lekat di ingatan
pendam saja walau dilarang
menanti dia yang mencetuskan

KAN BISA

ganasnya bicara
kasar tutur kata
lenyap sepakat
jalinan semakin berkarat
sunyi waktu berlalu
tak bisa memecah buntu
patutkah dirayu masa
memberi petunjuk dicita

maaf bertukar tangan
sangka akan berkekalan
guruh berdentum hebat
mengiring petir yang hampir sesat
semuanya salah rindu
terpinga digoda nafsu
rencana yang indah
kini berderai pecah

keinsanan masih meraja
tak sanggup dibiar bersengketa
namun hanya sesalan
hasil khilaf kejahilan
yang termampu hanya lafaz
melerai kusut menuju fawwaz
usah berbalah lagi
bukan resam orang madani

JANJI TINGGAL JANJI

dinanti
tak muncul
diminta erti
tak terpacul

diam
tiada suara
haram
nafsu menguasa

mungkin
dia penat
dingin
apa dihajat

peluang
takkan dinafi
terluang
jangan dilupai

paksa
takkan dilepas
rasa
disaring kemas

sayang
menyelamat nyawa
buang
akan terkena